Takkan Berganti - Mia Azwari (4)

Takkan Berganti - Mia Azwari (4)

NAFAS dihela sedikit panjang. Sejak pagi tadi hatinya sedikit gelisah. Seolah-olah ada perkara yang buruk bakal berlaku. Dadanya diusap lembut. Sedaya upaya dia cuba menenangkan diri sendiri.

Meja belajar dipandang lama. Saat anak matanya ternampak ‘barang’ yang sudah lama disimpan secara rahsia, hatinya semakin sayu. Mungkin sudah tiba masanya dia berhenti berharap untuk mencapai impian tak masuk akal itu.

 

Bunyi pintu bilik diketuk kuat mengejutkan Eton. Langkah dihalakan ke arah pintu bilik.

 

“Tak bersiap lagi!” marah Puan Hasnah.

 

Terpejam rapat mata Eton. Boleh tahan kuat juga suara emak menegurnya. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Rasanya dia tak berjanji dengan emak untuk ke mana-mana.

 

“Nak ke mana?”

 

“Bertuah betul budak ni. Semalam mak dah pesan, kita nak pergi rumah mak long. Dah lupa ke malam ni ada kenduri doa selamat?”

 

Terus berubah wajah Eton. Keluhan kasar terlepas daripada bibirnya. Dia kembali ke katil. Setiap kali nama mak long disebut, panas pula hati dia. Kalau ada kenduri, baru sibuk nak mencari mereka berdua.

 

“Tak payahlah, mak. Mak long tu bukannya suka dengan kita. Nanti tak pasal-pasal dia mengata kita nak menumpang kesenangan.”

 

“Dah berapa kali mak pesan, biarlah mak long tu nak benci kita. Kita tak payah  balas. Kalau bukan kerana pak long, dah lama kita mati kebulur.”

Berdecit lidah Eton. Perkara itulah yang dia tak suka. Masih lagi nak terikat dengan keluarga pak long. Selepas arwah ayah pergi, pak long yang sentiasa menjaga kebajikan mereka dua beranak.

 

Masa dia bersekolah menengah, pak long juga yang membiayai persekolahannya.

 

Perkara itu secara tak langsung menimbulkan rasa tak puas hati mak long. Yang buat Eton terasa, mak long suka sangat menghina emak. Kononnya emak cuba menggoda pak long. Memang tak masuk akal. Paling dia benci, nak menghadap muka anak bongsu mak long. Ilyas! Nasib baiklah kakak dan abang Ilyas itu baik.

 

“Cepat!”

 

Ternaik bahu Eton. Nak tak nak, dia terpaksa jugalah ke sana. Tudung sarung disarung ke kepala. Tak perlulah nak melawa sangat. Dia pakai cantik pun, sah-sah akan dikutuk juga.

Perjalanan ke sana hanya mengambil masa 10 minit. Baru saja mereka menjejakkan kaki di dapur, terdengar suara lantang mak long.

 

“Yas jangan nak buat kerja gila! Malu kita nanti. Majlis tu dua minggu lagi. Kenapa pula nak batalkan?”

 

Tercengang Eton. Dia dan Puan Hasnah saling berpandangan. Dah kenapa pula mamat tu tak jadi kahwin?

 

“Jawab, Yas!”

 

Eton mencuit lengan emaknya.

 

“Kita baliklah, mak. Eton rasa macam tak sesuai aje kita datang sekarang.”

 

Puan Hasnah mengangguk setuju. Belum sempat mereka keluar dari pintu dapur, terasa lengannya ditarik kasar. Bulat mata Eton saat anak matanya bertemu dengan wajah Ilyas.

 

“Maaf, mak su. Yas pinjam Eton kejap.”

Terpinga-pinga orang tua itu. Eton lagilah tercengang. Tiba-tiba saja dia ditarik masuk ke dalam rumah.

 

Tergamam Puan Inas dan Encik Zahar. Wajah Eton dan anaknya dipandang silih berganti.

 

“Kalau ibu masih nak teruskan majlis minggu depan, biar Eton yang ganti tempat Ieda.”

 

Terbeliak mata Eton. Biar betul!

 

“Yas jangan nak mengarut! Kenapa nak jadikan Eton sebagai mangsa?” marah Encik Zahar.

 

Ilyas hanya membisu. Dan kebisuan lelaki itu membuatkan Eton rasa nak mengamuk. Ada juga kenduri hujung minggu depan bertukar kepada kenduri arwah Ilyas!

 

Link tempahan : 

Single 

Kombo