PROLOG
JERITAN mak dan pekikkan abah membuatkan Hanim dan Hanafi saling berpandangan, kemudian mata mereka serentak berputar dan dijulingkan ke atas. Sedari kecil mereka mendengar jerit pekik begitu. Sudah lali. Kalau dulu ketika mereka masih kecil, sudah pasti dua beradik itu berlari menyorok di bawah katil kerana ketakutan. Tetapi seiring menginjak dewasa, mereka hanya buat tidak tahu saja.
"Sial! Kau sorok mana hah duit kau! Aku nak duit!" Jerkah abah. Bunyi barang dihempas berdentum dentam dari dalam bilik mak dan abah.
"Dah tak ada bang! Semua dah habis! Apa lagi yang abang cari! Sudahlah!" Tangisan nyaring mak makin membingkitkan telinga.
Hanim hempas botol air yang dipegang ke lantai. Rasa rimas berada di rumah yang tak pernah aman itu. Dah la rumah mereka rumah setinggan, sudah pasti suara mak dan abah didengari jiran tetangga.
Tidak menunggu lama lagi, dia bergegas mencari kunci motor milik abahnya. Tudung bawal yang terdampar di kepala sofa ditarik lalu disarung ke kepala. Sekadar ala kadar saja. Biarlah berkedut seribu pun tudung itu sekarang yang penting dia berhambus segera dari situ. Tidak kisahlah ke mana pun asalkan dia dapat berada di tempat yang tenang dan sunyi.
"Kau nak pergi mana, Nim?"
Langkah kaki Hanim terhenti bila Hanafi berdiri tegak depan dia. Menghalang dia keluar dari rumah.
Hanim jeling sekilas si abang.
"Rimas tahu tak duduk sini! Tepilah! Aku nak keluar." Tubuh kurus abangnya ditolak ke tepi. Hanafi yang tak bersedia sampai berundur setapak ke belakang dan ketika itulah Hanim menyelit keluar mendapatkan motor buruk abahnya.
"Aku ikut!" Hanafi bergegas menyarung selipar. Ingat dia nak duduk dekat rumah yang macam neraka tu? Memang tak lah!
"Sibuklah kau ni bang!" Jerit Hanim bengang. Hanafi dah selamat bertenggek membonceng di belakang dia.
"Cepatlah! Nanti orang tua tu tahu pula kita rembat motor dia. Cepatlah Nim!" Bahu adiknya ditepuk-tepuk cemas. Kepala terteleng-teleng melihat ke pintu rumah. Takut abah keluar dan mengejar mereka dengan parang dek motornya dicuri si anak.
Hanim pantas menghidupkan enjin motor. Berkali-kali kaki dia bergerak menekan pedal untuk menghidupkan motor. Setelah berkali-kali mencuba barulah motor Honda EX5 buruk bapaknya itu menyala.
"Eii motor ni! Mengah aku!" Bebel Hanim lantas dipulas-pulas throttle beberapa kali sehingga menghasilkan bunyi yang agak bingit sebelum gerak keluar dari lorong rumah mereka itu.
"Hanim! Anak sial! Pulangkan balik motor aku!" Jeritan si ayah membuatkan dua beradik itu tergelak-gelak. Dengan selamba Hanim menunggang motor itu meninggalkan rumah.
"Kita nak pergi mana ni, Nim?" Soal Hanafi dengan suara yang kuat melawan bunyi angin.
Hanim angkat bahu.
"Aku tak tahu!"
"Biol la kau!" Hanafi ketuk kepala adiknya. Meter motor dikerling sekilas.
"Minyak nak habis ni! Kita mana ada duit!" Aduh! Masalah betullah!
Hanim terdiam. Motor masih digerakkan tanpa hala tujuan.
"Argh!" Jerit dua beradik itu. Serabut dengan kehidupan! Mereka miskin. Ada mak dan ayah pun tak berguna!
Motor membelok masuk Jalan Ameltis. Melalui rumah-rumah elit yang dilindungi dengan pagar-pagar besar. Sebaik sahaja motor berjalan masuk ke lorong lain, mendadak dua beradik itu cemas.
"Hanim! Ada road block tu!" Hanafi cepuk bahu adiknya.
"Alamak!" Tanpa berfikir panjang terus Hanim membelok masuk halaman rumah seseorang yang kebetulannya pintu pagar rumah itu terbuka luas.
"Gila la kau ni! Nak buat apa kat sini, samdol!"
Hanim garu kepala. Gara-gara tak ada lesen dan roadtax motor yang telah mati, dia tak dapat berfikir lagi. Menggigil kepala lutut bila nampak polis sedang buat sekatan jalan. Pelik betul… dah kenapa sekatan jalan dalam kawasan perumahan? Ada penjenayah ke?
Hanim dan Hanafi masih terkulat-kulat di perkarangan rumah mewah itu. Merenung kagum rumah banglo tiga tingkat yang tersergam indah itu. Ada kolam renang di tingkat 2 rumah. Ala-ala skypool yang sering dia lihat di Facebook.
“Maserati weh!” Bisik Hanafi. Kagum melihat deretan kereta mewah yang terparkir di dalam garaj.
“Ducati… KTM…Kawasaki…Yamaha..” Pergh! Mata Hanafi bersinar galak. Motor-motor berkuasa besar yang berderet itu membuatkan dia rasa mahu jatuh rahang melihatnya.
Sah kaya raya betul tuan rumah ni.
Hanim turut ternganga melihat motor-motor itu. Seksi gila! Iris matanya beralih pula melihat motor yang sedang dia tunggang sekarang. Allah! Jauh berbeza!
Terbit rasa cemburu menjentik hati dua beradik itu. Entah bila mereka akan dapat merasai segala kemewahan seperti yang dilihat sekarang. Macam mustahil saja. Agaknya sampai mati pun mereka akan tetap miskin. Tak pernah nak rasa senang.
Tidak berapa lama kemudian keluar seorang lelaki muda berumur dalam lingkungan awal 20an. Mulut Hanim sedikit ternganga. Terkejip-kejip mata dia melihat gaya santai lelaki itu melangkah mendekati mereka.
Rambut lelaki itu kelihatan lembut beralun. Berbentuk M ala-ala pelakon drama korea. Santai bertshirt hitam gambar kartun spongebob dan seluar bermuda paras lutut.
Handsome betul. Inilah lelaki pertama yang Hanim kata handsome yang pernah dia lihat secara nyata. Selalu dia memuji artis luar negara saja.
"Tuan rumah datang tu!" Hanafi dah gelabah kat belakang. Terloncat-loncat kaki dia sampai motor mereka bergoyang-goyang.
"Ehh...eh!" Hanim yang kecil molek tak tentu arah menahan motor dari terus bergoyang.
"Wei! Diamlah!" bisik Hanim tegas. Perut si abang disiku kuat memberi amaran.
"Aduh!" Menyeringai Hanafi menahan perit. Tajam betullah siku Hanim ni!
"Ya... Nak cari siapa ya?" soal si jejaka dengan mata yang mengecil menahan terik matahari. Tangan naik menahan di dahi dari silau panahan cahaya.
Hanafi diam. Masih baran kerana disiku Hanim. Biar adiknya sendiri menjawab.
"Er..." Hanim tergagap-gagap. Tak tahu nak cakap apa.
"Huh?" kening si jejaka terjongket tinggi. Masih sabar menunggu jawapan si gadis.
Mata sempat mengerling lelaki yang membonceng di belakang. Nampak cemas.
"Ada apa? Panas ni." Si tuan rumah dah bercekak pinggang dengan muka berkerut. Rasa geram pula bila dirinya dijemur bawah matahari oleh dua manusia yang entah datang dari mana ini.
Tertelan air liur dua beradik itu. Hanim kerling si abang. Dasar tak membantu! Selamba saja Hanafi pandang arah lain. Buat-buat menghayati permandangan di rumah orang itu.
Haish!
"Err.. Ada road block kat depan." Cicit Hanim.
"So?"
"Err..." Hanim garu leher. Serba tak kena bila lelaki itu minta penjelasan.
"Kitorang tak ada lesen. Motor pun tak ada roadtax."
What? Terbeliak mata Faris. Beraninya dua manusia ni melanggar peraturan!
"Lepastu kenapa masuk rumah saya?"
"Kebetulan pintu pagar rumah awak terbuka luas. Kami tak boleh nak fikir dah. Jadi kami masuklah. Tumpang kejap boleh? Sampai polis tak ada." Hanim tayang sengih sambil sengol perut si abang.
Nak tak nak Hanafi turut pamer sengih.
Dan Faris terdiam. Tergeleng kepala dia. Ada juga kejadian macam ni ya.
"Masuklah dulu. Panas dekat luar ni."
Hanafi yang mendengar pelawaan itu terus melompat turun dari atas motor. Memang panas terik kat luar ni. Baik dia setuju aje masuk ke dalam rumah besar itu. Mana tahu ada penyaman udara. Sejuk sikit. Dapat pula minum air oren. Pergh! Sejuk tekak.
"Napi!!" Tegah Hanim. Malu dengan perangai jakun Hanafi.
Serentak Hanafi dan Faris berhenti melangkah dan toleh pandang Hanim yang masih bertenggek atas motor.
"Masuk ajelah wei. Orang dah pelawa ni."
Hanim renung sekilas tuan rumah. Saat mata mereka bertembung, Faris jongket kening menanti jawapan dia.
"Yelah..." akur Hanim. Lambat-lambat dia turun dari motor dan mengekori si abang.
"Aku nak air oren boleh tak? Ais banyak tau."
Ya Allah... Dia tak tahu dah nak letak muka di mana. Selamba saja si abang mengarah orang sesuka hati. Dah la masuk saja ke ruang tamu itu, Hanafi terus hempas bontot dekat sofa empuk si tuan rumah.
“Pergh! Empuknya sofa rumah kau ni weh!” laung Hanafi pada tuan rumah yang berjalan ke dapur meninggalkan mereka di ruang tamu.
Hanim rasa nak pelangkung aje Hanafi sekarang ni. Tak malu betullah! Macamlah orang tu kawan dia! Haish.
“Aku Hanafi, ni adik aku Hanim.” Hanafi perkenalkan diri sebaik sahaja lelaki muda itu menghidang dua gelas air oren pada mereka.
“Aku Faris.” Jawab Faris sambil menarik nafas dalam. Merenung lama tampang dua manusia yang tak dikenalinya itu.
Si abang berkulit hitam manis. Kelihatan seperti sebaya dengannya. Manakala si adik kelihatan macam masih bersekolah. Berkulit cerah dan comel bertudung bawal kosong yang agak lusuh.
“Kau memang tinggal seorang aje ke dekat rumah besar ni?” Hanafi tebarkan pandangan pada sekeliling kawasan.
Perabot dan semua barang di dalam rumah itu tampak mewah. Dinding rumah bercat putih tetapi perabotnya semuanya hitam. Nampak elegant.
“Family aku semua pergi bercuti. Tengah cuti sekolah.” Jawab Faris ala kadar. Masih terkejut dengan sifat selamba Hanafi. Mata mengerling Hanim yang sejak tadi terketap-ketap bibir marahkan abangnya.
“Oh… bestnya.” Hanafi sandar badan ke sofa. Empuk. Ditepuk-tepuk tempat kosong di sebelahnya sebelum dengan selamba dia merebahkan badan di atas sofa berbingkai tiga itu. Punyalah besar sofa ni, muat kalau dua orang baring.
“Napi!” deram Hanim sebal. Rasa nak cekik saja Hanafi sekarang ni.
Dalam diam Faris kulum senyum melihat tingkah Hanim.
“Aku ada kerja dekat atas. Kau orang duduklah sini. Nanti dah nak balik kau tutup aje pintu rumah.” Faris bingkas bangun.
“Eh! Awak tak takut ke kami curi apa-apa dalam rumah ni?” sampuk Hanim cemas. Rasa serba salah la pula bila tuan rumah tak ada sekali dengan mereka.
Faris sengih.
“Buat aje macam rumah sendiri. Jangan risau, ada CCTV.” Mata dia mengerling ke penjuru siling rumah.
Ternganga dua beradik itu melihat kemera CCTV ada di setiap penjuru siling. Pergh!