Bab 5
"FARIS AD DEEN!"
Suara jeritan mommy buat Faris tergelak-gelak menutup salah sendiri. Tahu yang dia dah keluar terlalu lama sampai mommy risau menunggu di rumah.
"Bila nak balik hah? Dah pukul 12.30 ni. Berlumba lagi ke?" Suara Dina makin lantang memarahi si anak. Geram pada anak sulungnya yang tak lekat di rumah. Hati seorang ibu tak tenang nak melelapkan mata selagi tak nampak kelibat si anak di rumah.
"Mana ada, mommy. Hujan kan ni. Litar basah." Faris cuba memberi alasan. Tapi sungguh dia tak berlumba malam ni. Cuma dia lambat balik kerana melepak di rumah kawan baiknya, Farel. Lelaki yang tua beberapa tahun daripadanya itu akan berlepas ke luar negara besok kerana semester baharu telah bermula.
"Habis tu, Ayis pergi mana tak reti nak balik lagi?"
"Ayis jumpa Farel. Dia kan nak berlepas besok. Sajalah melepak sekejap. Lepas tu pergi makan. Ni nak balik la ni."
"Haa... cepat balik! Ayis ni kan..."
Sambil mendengar bebelan mommy, Faris bersandar selesa di tempat duduknya. Dari dalam kereta, matanya merenung lama rumah kampung yang dihuni Hanim.
Berkerut dahinya bila nampak bayang-bayang orang bergaduh di sebalik langsir tingkap yang terbuka luas. Cermin tingkap kereta pantas diturunkan sedikit. Dan serentak dengan itu, dia dapat mendengar suara lantang yang bertikam lidah dari dalam rumah.
"Aku nak mati! Gara-gara jantan sial ni la, aku mengandung! Dia rogol aku!"
Tubuh pantas melonjak ke depan. Tertanya-tanya apa yang berlaku di dalam rumah Hanim.
"Mommy... kejap lagi Ayis balik. Letak dulu ya." Laju dia mematikan talian telefon tanpa sempat mendengar balasan mommy.
Telefon dicampak ke tepi lalu bergegas dia turun dan berjalan ke arah pintu rumah Hanim.
"Assalamualaikum." Daun pintu yang terbuka luas memudahkan Faris menjengah ke dalam.
"Kau jangan cabar aku, Napi!"
Terbeliak mata dia bila melihat seorang perempuan mengandung sedang menangis sambil menghala pisau ke lengan sendiri sebelum diterpa Hanim.
"Hanim!" Terjerit Faris bila Hanim juga tumbang seakan mahu pitam.
Hanim jatuh tergolek di sebelah wanita mengandung itu. Dan wanita mengandung itu berusaha mencapai pisau yang terlepas dari tangan Hanim lalu wanita itu mengelar pergelangan tangan sendiri.
Tidak sampai sesaat, suara tangisan perempuan itu hilang. Hanya erangan kesakitan yang bergema.
"Yati!"
Hanafi terkaku dengan mata terbeliak. Terkejut melihat Hayati yang sudah terkulai berlumuran darah. Mak Hanim pula meraung sambil memangku tubuh Hanim.
“Allah!” Faris bergegas mendapatkan kain dan menekup luka di tangan perempuan mengandung itu.
Tertoleh kiri kanan dia kerana tidak tahu berbuat apa.
“Hanafi! Kau jangan lari, Napi!” Jerit Mak Ecah bila Hanafi bergegas melarikan diri keluar dari rumah.
SPEECHLESS. Termangu seketika Faris. Tanpa kata, dia ikut saja ke mana jururawat arahkan dia pergi. Dan akhirnya di sini.
Di depan Neonatal Intensive Care Unit.
"Encik boleh iqamatkan dia sekarang ya. Lain kali datang boleh bawa Pampers anak."
Faris hanya diam merenung sekujur tubuh kecil di dalam inkubator itu. Terlalu kecil dengan wayar berselirat menutupi wajah si kecil.
"Dia kecil sangat." Faris berbisik perlahan. Tak sangka yang dia akan melihat semua ini di depan mata.
"Berat tak sampai 1.2kg. Jadi kita akan pantau oksigen dan berat dia. Jantung baby pun laju tadi." Sampuk jururawat yang berada tidak jauh dari situ.
Faris menoleh sesaat ke arah lain. Ada beberapa bayi lagi di dalam NICU itu. Tak mahu membuang masa, dia menunduk sedikit. Mendekat dengan telinga si kecil walaupun dihadang dengan bekas inkubator yang melindungi si kecil.
Alunan iqamat dilaungkan perlahan. Bergetar suara dia ketika menyebut kalimah itu. Entah kenapa, terus dia jatuh sayang pada si kecil yang dilahirkan tidak cukup bulan itu.
Usai urusannya di NICU, kakinya melangkah laju ke arah wad yang menempatkan Hayati.
Di sana, Hanim duduk bersandar seperti orang yang tiada roh. Lemah longlai berlunjur di kaki lima luar wad itu.
"Hanim."
Senyap. Tiada sahutan walaupun empunya badan ada di situ. Tetapi gadis ini hanya diam merenung kosong dinding di depan mata.
Faris tarik nafas dalam. Dia tahu Hanim trauma dengan semua yang terjadi. Dia sendiri juga sangat terkejut.
"Hanim," seru Faris lagi. Sedikit gusar melihat keadaan Hanim yang tak ubah seperti patung di situ.
"Saya penat." Air mata Hanim mengalir di pipi.
Dari berdiri, Faris duduk bertinggung depan Hanim.
"Semua dah selesai. Dia dah selamat. Jom, saya hantar awak balik. Awak boleh rehat," pujuk Faris lembut.
"Saya penat nak hidup." Hanim kesat kasar air mata yang basah di pipi. Buntu bila memikirkan segala masalah yang menimpa. Terlalu berat untuk dipikul sampai dia rasa lelah untuk terus bangun dan meneruskan hidup.
Faris terpempan. Lama dia merenung Hanim yang menangis tanpa suara itu. Hanya air mata yang mengalir di pipi pucat gadis ini.
Kelu lidahnya mahu memujuk kerana dia juga mati kata setelah melihat sendiri keadaan keluarga Hanim.
"Awak pergilah balik. Awak dah banyak tolong saya." Berkaca mata Hanim membalas renungan redup Faris.
Dia tak kuat sebenarnya sendirian di sini, tapi dia tak mahu membebankan lelaki itu lagi. Faris dah banyak tolong dia.
Hayati cuba bunuh diri. Hanafi lari dari rumah. Dia pun hampir rebah, tapi dia perlu kuat untuk uruskan semua perkara yang terjadi.
Hanim buntu. Mujur ada Faris yang bergegas bawa mereka bertiga ke hospital. Sebaik sahaja sampai di sini, tak sangka pula kandungan Hayati bermasalah kerana tekanan emosi yang ditanggung wanita itu.
Pantas saja Hayati disorong masuk ke dalam bilik pembedahan untuk melahirkan.
"Baby macam mana?" Mengingatkan si kecil, air mata Hanim jatuh kembali.
‘Ya Allah... Macam mana aku nak jaga bayi itu sedangkan diri aku sendiri pun tak terjaga?’ Hanim berbisik dalam hati.
"Dia kecil sangat. Doakan dia kuat untuk terus hidup." Faris tersenyum nipis. Terbayang-bayang raut comel bayi perempuan yang baru saja dia iqamatkan tadi.
Jururawat di NICU itu ingat dia bapa si kecil. Kerana itu dia dibenarkan masuk untuk iqamatkan dan melihat si kecil seketika.
"Dah. Jangan fikir lagi. Untuk hari ni, awak kena rehat. Besok kita datang sini lagi. Bagi mak awak jaga Kak Yati dulu." Faris cuba memujuk bila melihat wajah Hanim makin mendung memikirkan si kecil.
Dia tahu berat dugaan Hanim. Dan melihat semua itu, tak sampai hati dia nak tinggalkan Hanim sendirian.
Mungkin Allah pilih dia untuk bantu meringankan beban gadis itu.
Hanim angguk kecil. Akur dengan nasihat Faris. Bingkas dia berdiri untuk mengikut langkah Faris ke kereta.
Dan saat itu dia tersedar. Terdiam dia dengan muka keresahan. Langkah kaki Hanim terus jadi perlahan. Buntu memikirkan wang pula. Entah berapa ratus pula bil hospital ini memandangkan Hayati bersalin secara pembedahan.
Dalam poket dia tinggal RM50 sekeping saja. Dalam bank tak payah ceritalah. Mungkin seringgit saja baki yang tak boleh dibawa keluar. Ya Allah....
"Hanim…" Seru Faris dengan riak tanda tanya. Pelik bila Hanim boleh pula termenung di tengah-tengah laluan.
Hanim tersentak. Cepat-cepat dia kembali melangkah mendapatkan Faris.
"Awak... Errr..."
"Kenapa?" Ternaik kening Faris menanti Hanim meneruskan kata. Jam di pergelangan tangan dikerling seketika. Dah 4 pagi, dia harap sangat mommy dan Didi tidak menunggu dia pulang.
"Tak ada apalah." Hanim gigit bibir. Malu nak susahkan Faris lagi. Takkan dia nak lelaki ini pula fikirkan macam mana mahu membayar bil hospital.
Besok sajalah dia usahakan. Mungkin boleh pinjam dengan majikannya. Harap-harap Abang Majid sudi pinjamkan duit kepada dia.
"Kereta awak dah kotor." Baru teringat yang darah Hayati dah mencemarkan kereta Faris.
"Tak apa. Benda boleh cuci nanti. Jom saya hantar awak balik." Faris sengih.
Hanim merenung lama belakang tubuh Faris yang berjalan mendahuluinya. Terharu kerana munculnya lelaki ini dalam hidupnya. Kalau tidak, pasti dia juga akan ambil tindakan seperti Kak Yati.
Pratempahan di
• rcpublication.ordersini.com (website)
• https://shope.ee/3VCKjwu134 (shopee)