BAB 5 | KITA HANYA KAWAN?

BAB 5 | KITA HANYA KAWAN?

BAB 5

 

BAGAI tak cukup tanah Lana berlari ke kawasan taman. Tiba-tiba Ali hantarkan mesej yang pelik. Manalah dia tak terkejut beruk. Nasib baik masa bekerja sudah tamat. Dia kini bekerja sambilan di kedai makanan segera.

 

Mesej yang diberikan oleh Ali dibaca sekali lagi.

Tolong aku. Ni antara hidup dan mati.

Dari jauh, dia sudah ternampak kelibat lelaki Ali. Tercungap-cungap nafasnya ketika itu. Dahlah dia baru balik dari bekerja. Perut pun masih belum terisi dengan makanan lagi.

 

“Kenapa kau panggil aku ke sini?” Dia duduk di sebelah Ali. Topi di kepala, diperbetulkan sedikit.

“Nah. Makan dulu. Aku tahu kau baru balik kerja.”

Pelik! Sesuatu sangat si Ali ni. Bukan baru hari ini mereka berkawan.

“Kau nak kenakan aku ke?”

 

“Makanlah. Aku belikan favourite kau. Extra cheese lagi.”

Kotak makanan dibuka sedikit. Tertelan air liur Lana. Memang betul-betul menguji keimanan dia sekarang.

Ali sembunyi senyum. Tahu sangat gadis itu takkan menolak makanan itu.

 

“Aku makan ek?”

“Makanlah.”

Dek terlalu lapar, Lana terus menjamah spageti carbonara kegemarannya. Sampai terpejam matanya menikmati makanan itu.

Menggeleng Ali. Tisu dikeluarkan dari poket seluar. Selamba saja dia mengesat mulut Lana.

 

Hampir tersedak Lana. Cepat-cepat dia ambil tisu itu dari tangan Ali. Masa ni jugalah jantungnya nak bekerja.

“Err... aku buat sendiri.”

Ali keluarkan sesuatu dari beg galas. Satu sampul besar diserahkan kepada Lana.

“Apa ni?”

“Kau tengoklah.”

 

Sampul bertukar tangan. Lana segera keluarkan borang dari sampul tersebut. Tak berkelip anak matanya melihat borang di tangannya.

“Ini...”

“Aku nak ke sana. Sambung belajar. Kau tolong aku.”

 

Bingung Lana. Kalau Ali nak pinjam duit, dia sendiri pun terpaksa bekerja sambilan. Nak dibandingkan antara mereka berdua, nasib Ali lagi baik darinya.

“Tapi kau dah janji nak belajar tempat yang sama dengan aku.”

Ali kelihatan serba salah. Memang dulu dia pernah berjanji dengan Lana. Tapi sekarang semuanya dah berubah apabila minatnya sudah beralih arah.

“Aku nak ke sana. Nak jadi macam abang aku.”

“Dekat sini pun kau boleh belajar benda yang sama.”

 

“Aku pernah cakap dekat kau, aku ada satu impian. Tapi perkara tu aku tak pernah beritahu sesiapa termasuk kau. Ingat tak?”

Terdiam Lana. Hanya anggukan yang diberi sebagai balasan.

“Ini impian aku.”

 

“Habis tu, apa kaitan dengan aku? Kau nak ajak aku pergi sana juga ke?” sindir Lana. Bekas makanan diletak ke tepi. Hilang seleranya selepas mengetahui rancangan Ali belajar ke luar negara.

“Bukanlah. Err... boleh tak kau tolong aku?”

“Yalah. Tolong apa?”

 

“Okey. Macam ni...”

Ali menceritakan tentang penipuannya kepada orang tuanya. Ketika itu dia tak sengaja menyebut nama Lana. Lebih memeranjat dia, abah kelihatan tenang saja. Seolah-olah abah setuju dengan rancangannya.

 

“Seriuslah?”

Tersengih-sengih Ali. Siap tayang wajah tak bersalah lagi.

“Kau datang rumah aku hujung minggu ni ya.”

“Tak nak aku. Kau suruh orang lainlah.”

Memang taklah dia nak bersubahat. Sengaja nak tempah bala namanya. Dahlah bapak si Ali ni boleh tahan garang. Eh, silap! Memang garang namatey!

“Bolehlah, Lana. Aku betul-betul terdesak ni.”

Serba salah Lana. Kalau dia tak setuju, jangan haraplah Ali nak lepaskan dia.

 

“Kenapa aku?”

“Sebab aku tahu kau sayang aku.”

Terdiam Lana. Bijak betul lelaki ini mengambil kesempatan. Memang betul dia sayangkan Ali. Terlalu sayang. Tapi bukan sekadar kawan. Dan perkara itulah yang mengganggu hidupnya berbelas tahun mereka berkawan.

 

“Apa yang aku dapat kalau aku tolong?”

“Aku akan tunaikan impian kau.”

Ternaik kening Lana. Sistem barter yang baik ni.

“Betul?”

“Ya. Aku janji.”

 

“Okey. Aku setuju. Apa yang perlu aku buat?”

Makin lebar senyuman Ali. Mereka berdua berbincang tentang perkara yang bakal berlaku hujung minggu ini. Harap-harap, abah percayakan lakonan Lana. Janganlah gadis ini melakukan kesilapan.

 

HARI ini dalam sejarah Lana datang ke rumah Ali dengan berpakaian baju kurung. Dah terbalik pula. Macam dia pula lelaki yang datang ke rumah teman wanita.

“Macam mana?”

Ali pandang atas bawah. Lama anak matanya menjamah wajah Lana.

“Cantik tapi ada sesuatu yang kurang.”

“Apa dia?”

 

“Kalau kau pakai selendang, mesti lagi cantik. Tapi tak apalah. Pakai macam ni pun dah okey. Kejap, kau tunggu sini. Aku panggilkan abah.”

Lana tersenyum kelat. Hilang kelibat lelaki itu, rambutnya yang pendek disentuh perlahan. Hari ini dia tidak memakai topi seperti biasa. Pasti wajahnya kelihatan buruk di mata Ali.

 

Tak lama kemudian, Haji Muzammil tiba di ruang tamu. Malu-malu Lana menghadap bekas pengetuanya. Ali muncul bersama dua gelas air minuman. Satu gelas dihulurkan kepada Lana.

“Ayah kamu sihat?”

“Sihat.” Hentam ajelah. Rasanya dah seminggu dia tak berjumpa lelaki itu.

“Dia tahu kamu ke sini?”

 

Lana pandang ke arah Ali. Tiba-tiba dia jadi kelu untuk bersuara.

“Adik dah minta izin dengan ayah Lana. Pagi tadi adik dah telefon.”

Berkerut dahi Lana. Bila pula Ali telefon ayah? Dia sendiri pun tak dapat nak hubungi ayah sendiri.

“Cikgu nak tahu, betul ke Lana setuju tunggu Ali balik dari sana? Empat atau lima tahun bukan tempoh masa yang pendek. Kalau boleh, cikgu nak kamu berdua bertunang dulu.”

 

Tersembur air yang diminum tadi. Ali lagilah terkejut. Bertunang! Mereka saling berpandangan.

“Ya. Abah nak kamu berdua bertunang.”

“Kami dah bincang. Lana tak bersedia lagi. Kami baru nak masuk 20 tahun.”

 

“Betul ke Lana tak bersedia?” soal Haji Muzammil kepada Lana.

Hampir terlepas gelas di tangannya. Dia pandang Ali di sebelah. Serba salah dia nak menjawab. Dah tentulah dia suka jika mereka diikat terlebih dahulu sebelum Ali ke sana.

 

“Beritahu cikgu. Betul ke Lana tak bersedia lagi?”

“Kan adik dah cakap, kami masih tak bersedia.”

Sebelum Lana rosakkan rancangannya, lebih baik dia mencelah. Hanya Lana aje abah percaya berbanding kawannya yang lain.

“Diam Muhammad Aliuddin. Abah tak bercakap dengan adik.”

Terdiam Ali. Lana lagilah. Pucat tak berdarah wajah dia sekarang.

“Jawab soalan cikgu, Lana.”

 

“Errr... sebenarnya Lana tak kisah kalau nak bertunang. Tapi cikgu tahulah kan, darah manis masa bertunang. Lebih baik Lana tunggu aje Ali balik ke sini.” Jawapan selamat dia berikan.

“Kalau macam tu, baik kamu berdua terus kahwin saja. Tak perlu nak bertunang bagai.”

“Abah!” Tegak terus tubuh Ali.

 

“Cikgu boleh sponsor pembiayaan Lana belajar di sana. Lagi selamat kalau kamu berdua pergi bersama. Bolehlah kamu jaga di antara satu sama lain.”

Hampir terjatuh rahang Lana. Tawaran yang sangat bagus. Dia pandang ke sebelah. Ali sedang memberi isyarat mata kepadanya agar tidak bersetuju.

 

“Macam mana? Kalau Lana tak setuju, cikgu tak...”

“Lana setuju!”

Tercengang Ali. Kali ini dia betul-betul hampir pitam. Kenapalah kau setuju, Alaina?!

 

Pratempahan

• https://shope.ee/3VCKjwu134 (shopee)

• rcpublication.ordersini.com (website)