BAB 4
BINGIT telinga Lana mendengar ibu bapanya sedang bertengkar di luar bilik. Kedua telinganya ditekup kuat. Dia sudah lali dengan keadaan begini. Jiran tetangga turut sudah masak dengan sikap kedua ibu bapanya.
Bunyi sesuatu yang pecah membuatkan jantung Lana berdegup laju. Bergegas dia keluar dari bilik untuk melihat keadaan di ruang tamu. Hampir ternganga mulut Lana. Cepat-cepat dia meluru ke arah Encik Hilal.
“Ayah!” Tangan orang tua itu ditepis kuat. Nasib baik dia sempat bertindak. Nyaris pasu bunga hiasan dilempar ke arah emak.
Turun naik nafas Encik Hilal. Panas hatinya gara-gara sikap biadap si isteri.
“Kau dengan emak kau, dua-dua kerja menyakitkan hati aku! Setiap kali aku balik rumah, ada aje yang mak kau bebelkan.”
“Kalau macam tu, tak payah balik! Abang balik ke sini pun, tak ada apa-apa makna juga.”
“Kau…”
“Sudah! Ayah nak bunuh mak ke?!” Bergema suara Lana. Dia sudah tidak mampu bersabar lagi. Setiap kali ayah balik ke sini, pasti emak yang menjadi mangsa.
“Kau ke tepi! Jangan sampai tangan aku ni hinggap ke muka kau.”
“Ayah nak pukul Lana? Pukullah! Tapi kali ni Lana takkan berdiam diri lagi. Lana akan buat laporan polis kalau ayah pukul Lana.”
Terkejut orang tua itu. Puan Seha turut tergamam. Dia terus berdiri tegak mendapatkan si anak.
“Lana cakap apa ni?” bisik Puan Seha.
“Lana cakap perkara yang betul. Sekali lagi ayah pukul mak atau Lana, Lana akan buat laporan polis. Lana bukan budak kecil lagi. Lana dah 19 tahun. Cukup-cukuplah selama ni kita jadi mangsa keganasan ayah.”
“Kurang ajar! Kau dah berani melawan aku. Ni mesti jantan tak guna tu yang ajar.” Dek terlalu marah, pasu hiasan di tangannya dihempas kuat ke lantai.
Lana masih cuba beriak tenang walaupun dadanya hampir meletup menahan debar. Dia perlu berani kali ini.
“Sampai bila abang nak macam ni? Berubahlah. Dari anak kita umur lima tahun, sampai sekarang abang tak pernah nak cuba ubah diri sendiri. Seha dah penat hidup macam ni.”
“Kau fikir aku tak penat? Hutang aku makin menambah. Ada budak ni nak tolong aku? Aku suruh kerja dekat sana, melawan.”
Sakit hati Lana. Tergamak Encik Hilal mahu dia bekerja di sana gara-gara untuk membayar hutang. Walaupun dia diugut bunuh sekali pun, tak mungkin dia akan jejakkan kaki ke sana.
“Lana takkan kerja dekat sana. Banyak lagi kerja yang halal Lana boleh buat.”
“Memanglah banyak tapi gaji dia tak semahal yang kau akan dapat. Kau tu yang bodoh. Memilih sangat!”
Merah wajah Encik Hilal menahan marah. Geram juga dengan sikap keras kepala si anak. Jika anaknya bersetuju bekerja di sana, dalam masa sebulan dia sudah mampu jelaskan hutang.
“Seha takkan benarkan anak kita kerja dekat sana. Cukuplah abang buat dosa. Jangan nak libatkan anak kita.”
“Arghhh! Korang berdua ni memang suka menyakitkan hati aku. Lebih baik aku keluar dari rumah ni.”
Orang tua itu terus keluar dari rumah. Sempat lagi Encik Hilal menolak almari kasut sehingga jatuh ke lantai. Menggeleng Lana melihat sikap panas baran orang tua itu.
Puan Seha terduduk di kerusi. Bibirnya yang pecah kesan tamparan dari suaminya, disentuh sedikit. Pasti kesan lebam akan timbul di situ.
“Mak okey tak?” Lana duduk di sebelah emak.
“Mak tak apa-apa. Bukannya baru hari ni ayah Lana tu pukul mak.”
“Sampai bila mak nak bertahan? Mak tak nak minta cerai ke?”
Tercengang orang tua itu. Laju dia menoleh ke arah si anak. Tak pernah lagi dia mendengar Lana menyebut perkataan cerai.
“Lana dah tak sanggup tengok mak hidup macam ni. Setiap kali ayah balik, mesti ada aje yang tak kena.”
“Kalau dulu mungkin mak tak mampu nak minta cerai. Tapi sekarang, mak rasa dah tiba masanya mak fikir diri sendiri.”
“Maksud mak?” Pelik Lana. Kalau dia berada di tempat emak, dah lama dia bercerai. Ada suami, hanya menyusahkan hidup.
“Dah banyak kali mak minta cerai. Sejak Lana di sekolah menengah lagi. Tapi masa tu ayah Lana selalu ugut untuk bawa Lana jauh dari mak. Sekarang Lana dah besar. Orang tua tu tak berhak untuk rampas Lana dari mak.”
Berkaca tubir mata Lana. Selama ini emak bertahan disebabkan dia. Tak guna betul orang tua itu. Selama ini bukan ayah yang menjaga dia. Hanya emak yang terpaksa bersekang mata mencari duit untuk menyara kehidupan mereka.
“Lepas ni mak tak perlu bertahan lagi dengan ayah. Mak patut bahagia seperti orang lain. Mungkin ayah akan berubah lepas kehilangan kita.” Tangan emak digenggam erat.
Puan Seha mengangguk sedikit. Dia turut membalas genggamam tangan si anak. Bukannya dia tak sayangkan lelaki itu. Tapi rasa sayang itu sudah semakin hilang disebabkan sikap suaminya yang semakin menjadi-jadi.
“Mak minta maaf. Mak kesiankan Lana. Dari kecil sampai sekarang, Lana hidup dalam keadaan keluarga tak sempurna.” Menitis air mata Puan Seha. Terkilan dengan nasib si anak.
“Selagi mak ada di sisi Lana, hidup Lana dah cukup sempurna.”
Lana terus merangkul tubuh wanita itu. Sedaya upaya dia kuatkan hati. Dia tidak mahu menangis di hadapan wanita itu. Selagi dia hidup, dia akan cuba membahagiakan emak.
TERGAMAM Haji Muzammil mendengar permintaan si anak. Permintaan yang sama dilakukan oleh anak sulungnya hampir lapan tahun yang lepas.
“Adik cakap apa?”
“Adik nak belajar di London.”
“Abah tak setuju.” Keras nada suara Haji Muzammil. Cukuplah dia pernah kehilangan seorang anak. Dia tak mahu berpisah dengan seorang lagi anaknya yang masih ada.
“Abah, tolonglah izinkan adik ke sana. Adik betul-betul nak belajar di sana.”
“Dalam negara kita pun masih banyak lagi tempat yang boleh adik mohon. Kenapa perlu nak ke sana?”
Ali tak mampu menjawab. Mustahil dia berterus terang tentang puncanya ke sana.
“Abah takkan benarkan adik ke sana.”
“Adik bukan Abang Am. Adik janji takkan buat perkara yang sama seperti Abang Am.”
Haji Muzammil tergelak sinis. Lapan tahun yang lepas, anak sulungnya turut berjanji akan melakukan perkara yang sama. Tapi kesudahannya, anaknya terus bekerja di sana dan berkahwin tanpa keizinan darinya. Lebih teruk, kehidupan anaknya berubah mendadak di sana.
“Abah…”
“Sudah. Keputusan abah muktamad. Abah tak nak adik buat kesilapan seperti Abang Am. Empat tahun bukannya tempoh masa yang pendek. Macam-macam perkara yang boleh berlaku di sana.”
Makin tak senang duduk Ali. Susahlah dia kalau abah tak benarkan dia ke sana.
“Ali sukakan Lana. Mustahil hati Ali berubah, abah.” Spontan dia keluarkan ayat itu.
Seperti yang dijangka, wajah orang tua itu turut berubah. Lama dia merenung wajah si anak.
“Adik cakap apa? Sukakan Lana?”
“Errr… ya. Kami memang suka sama suka.”
Dalam hati, Ali dah menyumpah seranah. Boleh pula dia keluarkan idea bodoh ini.
“Adik dengan Lana dah serius sejak bila?”
“Baru aje lagi.” Hampir tak terkeluar suaranya.
Haji Muzammil menarik nafas panjang. Dia sedang terfikirkan sesuatu. Perasaan Ali semakin gugup. Harap sangat abah berubah fikiran.
“Kalau adik sukakan Lana, kenapa nak tinggalkan dia di sini? Atau adik nak bawa dia belajar sekali ke sana?”
Tegak terus tubuh Ali. Tak terfikir pula untuk dia bawa Lana ke sana.
“Kenapa diam?”
“Err… Lana tak nak ikut. Dia tak sampai hati nak tinggalkan tempat ni.” Pandai-pandai aje dia berikan alasan. Sebenarnya dia tak pernah beritahu Lana tentang rancangannya untuk belajar di luar negara.
“Bawa Lana ke sini hujung minggu ni. Abah nak dengar dari mulut dia sendiri.”
Tercengang Ali. Air liur ditelan terasa kesat.
“Abah nak jumpa Lana?”
“Ehmmm… bawa dia ke sini dulu. Abah akan berikan keputusan lepas abah bercakap dengan Lana.”
Orang tua itu bangun dan terus berlalu ke tingkat atas. Ali masih kaku di tempat duduknya. Rambutnya diramas kasar. Habislah dia. Nak tak nak, terpaksalah dia meminta bantuan daripada Lana.
✳️✳️✳️✳️✳️
Kesian Lana. Broken family memang sakitnya lain macam 🥹
🍏 pratempahan di :
• website rcpublication.ordersini.com
• sebarang pertanyaan 0198817140