BAB 3 | MY SWEETEST PAIN

BAB 3 | MY SWEETEST PAIN

BAB 3

 

UNTUK kali ke 10 Wan Furqan hantar pesanan ringkas merayu untuk aku ikut dia joging pagi ni dari selepas waktu subuh tadi. Belum kusut otak aku nak cerita kat mak pasal Azim yang nak berhenti belajar sebab nak tanggung bakal bini dia. Adoyai. 

‘Aku tunggu kau kat luar rumah kau ni. Cepatlah keluar.’

Satu lagi pesanan ringkas masuk ke dalam kotak whatsApp

Aku mengeluh. Selendang hitam yang tersangkut di pintu bilik kuambil. 

“Nak pergi mana?” Soal Azalea sebaik sahaja aku mengenakan tudung. 

“Keluar joging.” 

Berkerut dahi Azalea. “Dengan Abang Wan ke?”

Yelah. Dia dah kat depan rumah dah.” Aku tarik muka masam. 

Azalea tersengih. “Kak, Abang Wan tu suka kat akak agaknya.”

“Tak mungkin.” Aku balas tak sampai sesaat Azalea menyudahkan ayat. 

“Ya aje tak mungkin. Akak cubalah tanya dia.”

“Dah pernah tanya. Dia memang anggap akak sebagai bestfriend dia. Kalau dia suka akak, dah lama dia ajak akak kahwin.” Aku jawab. Duit RM 10 aku ambil dari dompet. Aku selit kat dalam poket. Lepas joging aku ingat nak beli sayur untuk makan esok. Malu juga tetamu datang kami tak ada makanan. Tak kan nak hidang telur dadar kat bakal isteri Azim tu. Dibuatnya bakal isteri dia bawa lima-lima anak kecil ke mari, harulah kami. Aku tak mampu nak membayangkan keadaan tu. 

“Akaklah yang ajak dia kahwin. Lea tengok Abang Wan tu dah sampai tahap tak boleh tak jumpa akak walau sehari.”

“Ajak dalam mimpi aje. Akak tak kuasa nak ajak dia kahwin. Banyak lagi lelaki baik dalam dunia ni.” Aku ambil telefon pintar dari sisi tilam kemudian terus melangkah keluar bilik. 

“Akak cari yang kaya sikit. Bolehlah kami tumpang senang sekali.” Azalea tergelak. 

Aku menggeleng kepala. Senang betul hati Lea walhal dia tahu abang dia nak kahwin dengan janda anak lima. 

Aku buka aje pintu rumah, nampak Wan melambai aku dari dalam keretanya. 

“Nak joging kat mana?” Aku menyoal selepas memakai tali pinggang keselamatan. Wan yang mula memandu tu aku pandang. Segak betul dia hari ni. T-shirt putih dengan tracksuit adidas berwarna hitam. Jaket adidas pula dia letak di atas ribanya. Oleh sebab Wan pakai shades, dia nampak seperti model yang tengah nak buat penggambaran. Naik menyampah aku dekat Wan. Dia tarik perhatian siapa sebenarnya? Jarang-jarang dia dress up kalau keluar dengan aku.

“Tepi pantai.” Wan tersenyum-senyum. 

“Syuhada kat tepi pantai ke?” Aku menebak. Manalah tahu kut-kut Syuhada joging sebab tu dia bergaya sakan.   

“Taklah. Kau ni asyik perli aku aje. Aku dan Syuhada tak ada hubungan lagi.” 

Yelah tu.” Aku buang pandang ke luar tingkap. Perkataan ‘lagi’ yang dia lemparkan membuat hatiku sedikit terusik. Aku memang suka nak ungkit nama Syuhada sebab dengan cara tu aje aku mampu berpijak di bumi yang nyata. 

“Betullah... Aku tak jadi nak sambut salam perkenalan dia. Takut kau cemburu. Sekarang ni pun sikit-sikit melenting.” 

“Astaghfirullah al-Azim...” Aku beristighfar. Lima saat kemudian aku tepuk dada dengan rasa tak percaya. Cuba menenangkan diri sendiri daripada perasaan marah. 

“Aku melenting bukan sebab cemburu ya Encik Wan Furqan... Aku tengah dalam masalah keluarga. Apa kena mengena hubungan kau dan Syuhada dengan aku pula?” Aku alihkan topik kerana tidak mahu dia menghidu perasaan yang cuba kusimpan rapi selama ni. 

“Bukan kau peminat aku nombor satu ke?” Dia sembunyi senyum. Aku nampak walau dia berusaha nak tahan diri dari buat muka poyonya. 

“Kalau boleh aku tak nak tengok muka kau, tau. Aku tengah kusut sekarang ni. Jangan nak tambah kekusutan aku boleh tak?” 

“Melenting lagi. Aku bergurau aje, kan? Entah-entah memang kau cemburu, tak?” Wan lebih giat menduga. Mungkin pada dia gurauannya tidak membawa apa-apa makna. Tetapi padaku seolah-olah dia menolak hatiku ke tepi gaung. 

“Itulah masalahnya. Kau tak pernah serius masa aku sedang serius.” Aku sandar tubuh dan pejamkan mata. 

“Jangan panjang sangat tayang muncung tu, Jenny. Aku saja aje... Apa salahnya aku hiburkan hati kau? Masalah kau pun masalah aku juga. Aku gurau ni sebab nak kau lupa dengan masalah kau sekarang,” ucap Wan dengan nada yang agak rendah. 

Barulah aku faham kenapa dia beria-ia mengusikku dari tadi. Tapi silapnya, dia usik aku dengan kebenaran. Kerana itu aku semakin rasa tak tentu arah. 

Entahlah. Kadang-kadang aku rasa cara Wan layan aku sedikit berlebihan dan melanggar batas-batas yang sepatutnya ada antara kami. Segala tindak tanduk dia, sikap prihatin Wan, kadang-kadang membuat hatiku terlebih perisa. Sukar untuk aku tetapkan hati agar tidak mudah tersentuh. Sekali kena, jangan kena lagi. Cukuplah aku malu sekali. 

Sepanjang bertahun-tahun aku berkawan dengan Wan, aku dan dia macam ni lah. Apabila dia menyakat, kononnya nak jadikan aku isteri dialah, kekasih dialah, aku cuba buat-buat pekak dan buta. Aku tahu dengan perempuan lain dia tak macam ni. Dia begini dengan aku saja. Kadang-kadang terfikir juga mahu mempergunakan rasa selesa Wan untuk aku supaya tak ada perempuan lain yang berani dekat dengan Wan. Post aje gambar Wan dan aku di media sosial setiap minggu supaya orang silap anggap tentang kami berdua. Tapi apabila aku fikir-fikir, perkara tu lebih banyak buruk dari baik. Aku tak nak jadi tamak. Dan aku rasa tak berbaloi bila aku rasa insecure disebabkan aku tak setanding dengan dia.

“Sejak akhir-akhir ni, aku perasan kau makin nak jauhkan diri dari aku.” Tiba-tiba dia luahkan perasaan. 

“Kau nak aku menghadap kau 24 jam ke?” Perliku.

“Kalau boleh...” Dia sengih.

“Kalau boleh? Kita ni dah dewasa. Dah ada life masing-masing. Cara kau cakap ni macam nak simpan aku jadi gundik aje.” Aku perli lagi dengan harapan Wan sedar antara kami masih ada batas yang perlu kami hormati. Tak bolehlah dia nak menyibuk tentang hal aku sepanjang masa. 

Wan angkat bahu sambil tersenyum lebar. “Kalau boleh...” Sekali lagi dia balas dengan ayat yang sama.  Sengaja nak menjengkelkan hati aku aje gayanya. 

Selfish tahu tak?” Aku tercakap. Tapi alang-alang dah tercakap, biarlah Wan mampu hadam apa yang ada dalam hatiku. 

Selfish?” Dia seperti keliru.

“Kau. Kau tak suka aku tapi beria nak aku layan kau macam raja.” 

“Siapa cakap aku tak suka kau?” Wan betulkan cermin mata gelapnya. 

Aku mengeluh. Cuba dia highlight kan ayat terakhir aku berbanding ayat di hadapan. 

Yelah kau suka aku. Tapi aku tak suka kau, tau?” Ucapku bersahaja. 

“Sampai hati kau cakap macam tu... Cuba kau bayangkan kalau aku tak ada...”

“Oh indahnya duniaaa....” Aku sengaja leretkan suara.

“Gundik kenalah layan raja elok-elok.” Laju Wan memotong kata-kataku.

Aku menjuih. “Minta maaflah. Aku tak sudi jadi gundik Wan Furqan.” 

“Kejap lagi aku datang rumah kau meminang. Biar kau tak dapat lari dari genggaman aku sampai bila-bila.” Ugutnya seperti sedang menahan geram. 

“Aku lagi sanggup terima pinangan Mat susun selipar kat masjid dari kahwin dengan kau.” 

Wan tergelak. “Kau buat lawak ke? Nak dibandingkan aku dengan Mat tu... Aku seribu kali lebih sesuai dengan kau. Aku ni dahlah kacak, pemurah, baik hati, sopan santun...” Dia puji diri melambung-lambung. 

“Diamlah. Bernanah telinga aku ni, kau yang kena nanti.” Aku potong kata-kata Wan sambil membentak. 

Wan senyum. Lama juga dia diam tanpa kata sebelum pandang aku sewaktu berhenti sebentar di hadapan lampu isyarat. 

“Jenny, janji kau happy, aku sanggup buat apa aje.” Ucapnya serius.

Aku buat-buat pekak sambil menyibukkan jari dengan skrin telefon pintar. Walhal jantung aku dah berdegup laju bila dia cakap begitu. Penting sangat ke aku gembira buat Wan? Tapi kalau betul penting pun, bukannya dia ada perasaan cinta padaku. Dia cuma anggap aku sebagai kawan aje. Tak ke? 

 

 

AKU ambil kelapa muda yang telah ditebuk dan dimasukkan straw oleh penjaja di tepi pantai. Bukannya joging pun sebenarnya. Wan aje yang joging. Aku pula buat aktiviti duduk di atas batang pokok mati sambil memandang keindahan pantai yang dah lama aku tak nikmati walhal bukan jauh mana pantai ni dengan tempat tinggalku. 

“Berapa bang?” Aku tanya. 

“RM 3, dik.” 

Aku terkial-kial keluarkan duit dari poket seluar. 

Tak sempat aku nak bayar, Wan dah hulur RM 10 kepada penjaja. 

“Dah habis joging ke?” Soalku. Macam baru 20 minit aje dia berlari anak ke hulu ke hilir... Selalunya sejam juga dia joging kat sini. 

“Aku bayarkan sebab aku yang ajak kau keluar.” Dia cakap sambil buat isyarat pesan satu lagi kelapa muda pada penjaja yang sama. 

Aku mengangguk. “Terima kasih, bos.” Mujurlah selama ni aku tak pernah ajak dia keluar. Kalau aku yang ajak, agaknya aku yang kena belanja dia makan. 

“Sama-sama kasih...” Dia mengenyit mata. 

Aku yang dah lali sangat dengan sikap tak semengah Wan Furqan terus buat muka bodoh. Kalaulah dia sedar dengan bahaya yang dia tengah mainkan bila dia guna ayat ‘pick up line’ dekat mana-mana perempuan, aku harap sangat dia boleh kawal kata-kata yang keluar dari mulut dia. Entah-entah dia tahu tarikan yang ada pada dia. Sebab tu makin galak dia ucap perkataan yang boleh menyentuh hati kaum hawa. 

Aku duduk di batang kayu besar tadi. Apabila aku sedut air kelapa muda, rasa dunia ni aku yang punya. Sedap gila. 

Tak lama lepas tu Wan datang dan duduk di sebelahku. Dia pandang kasut dia dan tepuk-tepuk untuk hilangkan pasir. 

Aku tersenyum kecil melihat kebimbangan yang terserlah pada raut wajahnya. 

“Siapa suruh kau pakai adidas limited edition joging kat tepi pantai?” Perliku. Dia ni terlupa agaknya keadaan muka bumi di tepi pantai macam mana. Dulu masa nak beli kasut limited edition tu, struggle bukan main. Jauh dia bawa aku jalan nak cari stok original. Sudahnya dia beli melalui website. Mahal kasut tu aku tak berani nak luah walau dalam hati. Cukuplah gaji setahun aku bekerja untuk beli kasut Wan Furqan. 

“Kenapa tak boleh?” Soal Wan. 

“Kat sini kan berpasir. Pakai ajelah kasut murah-murah yang dijual kat pasaraya kau tu.” Aku menyedut lagi air kelapa muda. Manis! Aduh. Kalau hari-hari nak minum ni boleh tak? 

Wan tak balas sindiran aku. Dia membetulkan duduknya dan meminum air kelapa yang dia pegang. 

“Tak boleh ke dalam sehari kau tak kritik aku?” Soal Wan dengan nada tenang. 

Aku pandang dia aneh. Kenapa tiba-tiba aje aura dia jadi seram eh? Tapi bukan seram sangat pun. Cuma rasa tak biasa bila dia pakai nada tu. 

“Aku kritik untuk kebaikan kau, Wan. Cakap elok-elok kau tak ingat. Jadi aku sindir ajelah.” Aku tersengih. 

Wan picingkan mata. Agaknya dia geram dengan sikap bersahaja aku ni. 

Aku tunjuk ke arah laut apabila nampak ada speed boat sedang memecut membelah lautan. Wan lemparkan pandangan ke arah yang sama. 

“Jadi macam mana dengan adik kau?” 

“Adik yang mana? Aku banyak adik.” Walau aku tahu maksud Wan sebenar, tapi aku buat-buat tak faham sebab malas nak bercakap pasal Azim. Boleh terganggu mood aku yang dah makin elok ni. 

“Aku jealous dengan Azim. Sekurang-kurangnya bila dia tekad, dia teruskan rancangan kahwin tak kisah ramai orang yang membantah keputusan dia. Hebat...”

Hebat kepala otak Wan. Aku kalau tak kenang Wan ni lelaki, memang aku dah cubit kulit lengan dia. 

“Kenapa? Kau nak ajak Syuhada kahwin tapi takut mak kau bantah ke? Kau jangan risau, Azim dengan kau jauh beza. Kau dah ada kerja, dah ada rumah, kereta, harta... memang mak kau tunggu-tunggu bila kau nak kahwin.” Aku jeling Wan. Aku baca reaksi di wajah dia. Kutlah Wan gembira dengan kata-kata aku tadi, maknanya Wan memang ada perancangan nak menyunting buah hati dia yang lawa tu dalam tempoh terdekat ni. 

“Taklah… aku nak ajak kau kahwin, tapi kau yang tak nak.” Dia tersenyum miang.

Aku lontar pandang ke arah laut. Walau aku tahu dia sekadar bergurau, jantung aku tetap jugak berderau…

Aku risau lambat laun aku yang tewas. Aku yang bakal bersedih apabila hubungan dia dan Syuhada jadi bertambah serius.

“Jangan jadikan aku tempat pelarian pula. Aku tak sudi nak jaga kau seumur hidup.”

Wan ketawa. “Kadang-kadang tahap kekejaman kau ni menyebabkan aku semakin berkobar-kobar.”

“Berkorbar apa?” Keningku hampir bertaut. 

“Rasa nak tackle kau sampai dapat.”

Spontan bibirku terjuih. Dia ingat aku main tarik tali dengan dia ke? Kalau sungguh dia nak datang meminang, akulah orang yang paling terbahagia. Masalahnya dia yang main tarik tali walhal hati dia tak ada ruang untuk aku. 

“Jangan nak jadikan aku bahan uji kaji kau ya.”

“Tak boleh ke?” Kening Wan ternaik sebelah. 

Aku letak buah kelapa dengan agak kasar di atas ribanya. Kelam kabut Wan menyambut.

“Kau buat macam tu, kita putus kawan.” Aku mengugut. Agaknya dengan cara ini aje Wan tak akan berani buat perkara yang menyebabkan hati aku tergoncang. 

“Alah Jen, aku tahu kau tak mudah cair dengan ayat-ayat cinta murahan.”

Aku ketap bibir mendengar komen Wan Furqan. Ayat-ayat cinta murahan dialah yang menyebabkan aku selalu tak tidur malam. Hati aku ni bukan diperbuat dari besi keluli yang boleh bertahan tanpa goyah dengan lelaki yang aku suka sejak zaman sekolah lagi. Dia tak ingat agaknya aku pernah mengaku yang aku sukakan dia. 

“Jenny, kenapa kita tak dating aje eh?” Wan tanya tanpa membaca riak di wajahku. 

Aku menghela nafas dalam sedar ugutan aku tidak meninggalkan bekas di hati lelaki itu. Nampak gaya aku kena fikir cara lain agar hati ini tak terlalu jatuh untuk Wan Furqan. 

“Sebab aku tak nak jadi salah seorang koleksi bekas teman wanita kau.” 

“Belum apa-apa lagi kau nak jadi bekas teman wanita aku. Aim lah yang tinggi sikit. Jadi isteri aku ke...” Dia mengangkat sebelah keningnya. 

“Kau aim lah Syuhada tu. Buat apa nak aim aku yang tak berdosa ni?” 

“Aku dan Syuhada tak ada apa-apalah...” Dia senyum. 

Entah kenapa aku rasa Wan tipu. Tak mungkin tak ada apa-apa. Aku pernah melalui keadaan seperti ini. Wan kata dia tak ada apa-apa dengan Alissa. Tapi tak sampai dua minggu, dia orang declare sebagai pasangan kekasih. Aku buat yang kesekian kalinya kecewa kerana setelah berpuluh-puluh kali Wan membaja harapan di hatiku, tapi dia pilih orang lain. 

“Macam susah aku nak percaya.” Aku tergelak kecil. 

“Betul lah. Aku dah lama lost contact dengan dia.” 

Aku mengangguk. Berlagak yang aku sedang percaya dengan kata-katanya. 

“Kalau kau tak percaya, nah telefon aku. Bacalah mesej aku dengan Syuhada.” Beria-ia pula dia terangkan pada aku kali ini. Memandangkan aku ada pengalaman tak sedap sebelum ni, aku tak sepatutnya terpengaruh dengan kata-kata Wan. 

“Buat apa aku nak baca mesej orang tengah hangat bercinta? Meluat tahu, tak? Dah habis joging ke? Jomlah hantar aku balik. Matahari meninggi dah ni. Aku nak masak tengah hari.” Aku bingkas bangun dari duduk. 

Wan segera mengekori langkahku. 

“Hangat bercinta?” Wan tekan suara dia seperti sedang bengang. 

Yelah, kau dan dia sedang sejuk bercinta.” 

“Aku cakap ni kau jangan marah. Tapi gaya kau ni macam tengah cemburu.” Dia tergelak-gelak.

Nampak sangat ke aku rasa insecure? Aku hela nafas. “Aku cemburu sebab Syuhada tu ada setiap apa yang aku nak.” 

Wan pandang aku. “Jenny, harta dan kekayaan tu sifatnya ujian. Bila kita ada semua benda tu, tak bermakna kita happy. Yang penting hati kita. Kita bersyukur atau tidak dengan rahmat yang Allah bagi.” 

Tiba-tiba dia berlagak alim pula. Tapi syukurlah dia tak faham dengan maksud yang tersirat dari ayatku. Aku pandang Wan dengan renungan dalam. Maksud aku, Wan... Aku tak berjaya tarik perhatian kau seperti mana dia berjaya menarik perhatian kau. Aku ni sekadar kawan aje bagi kau. 

Hmmm...”

“Tadi kau nak pergi pasar, kan? Jomlah...” Dia kembali mengatur langkahnya. 

Aku ekori dari belakang. Melihat dia dari belakang, aku teringin sangat nak ambil tangan dia. Aku membayangkan dia dan aku berjalan berpimpinan. 

Tapi benda tu tak mungkin terjadi. Aku tak patut menanam impian terlalu tinggi. 

“Encik Wan...” 

Tiba-tiba seseorang menegur. 

Aku dan Wan menoleh serentak ke arah yang sama. 

Seorang pemuda lebih kurang sama tinggi dengan Wan mengorak langkah ke arah kami. Dia pakai baju sukan dan kelihatan agak muda. Tengah joging jugalah kut. Kulitnya agak gelap sedikit tetapi air mukanya tenang, Aku pandang dia dari atas ke bawah. Entah kat mana aku pernah jumpa dia, rasa familiar aje. 

“Tak sangka jumpa kat sini. Baru joging ke?” Dia bertanya. 

Aku toleh ke arah Wan pula, nak tengok reaksi dia. Wan nampak relaks dan tak kisah.

“Haah. Awak buat apa kat sini?” Soal Wan berbasa basi. 

“Joging juga. Dengan kawan-kawan lain.” Lelaki itu menunjukkan sekumpulan temannya yang berada tidak jauh daripada kami. 

“Lain kali kalau nak joging, ajaklah dia sekali.” Aku menyampuk kerana Wan sekadar membatu di situ. 

Lelaki tadi beralih memandang wajahku. Aku senyum. “Saya Azania. Boleh panggil Jenny. Kawan Wan sejak kecil.” 

“Oh... Baik-baik. Saya Zafran.” Zafran lurut belakang kepala dengan tangan kanan.  Wajah dia malu-malu kucing bila memperkenalkan diri sendiri. 

Hmmm... Saya ke sana dululah.” Zafran tunjuk ibu jari ke arah kawan-kawannya. Mungkin dia rasa Wan tak berapa melayan. 

“Okey, bye...” Aku angkat tangan acah-acah nak melambai. 

Laju Zafran berlari menuju kawan-kawannya. Aku tersengih kecil. 

“Cepatlah, kata tadi nak balik.” Wan menegur. 

Aku tak perasan pula Wan dah berjalan jauh dari aku. Sampai di dalam kereta, aku amati riak Wan yang kosong itu. 

“Patutlah kau tak ada kawan lain. Sombong.” Komenku separuh menggumam. 

“Siapa? Aku? Aku ramai kawan...”

“Tapi dengan Zafran tadi macam awkward aje.” Aku mengerutkan dahi. 

“Dengan dia memang tak rapat pun. Dia pekerja kat pasaraya.”

“Kau pula bos duduk kat pejabat. Ada darjat nak kena jaga. Macam tu?” Aku menduga. 

“Aku tak kisah dengan darjat. Kau ingat aku ke yang punya pasaraya tu? Aku pekerja jugak.”

“Habis tu?” Aku pandang dia dengan rasa ingin tahu. 

Wan mula memandu keluar dari kawasan parkir. 

“Dia baru aje bekerja, jadi aku masih tak rapat dengan dia. Itu aje.”

“Tapi segak juga dia eh. Aku ingatkan biasa-biasa aje.” Aku senyum sambil mengenakan tali pinggang keselamatan. schclos waktu tengah hari. Pandai-pandailah Wan selesaikan masalah dia sendiri. 

 

 

“PUKUL berapa dia orang datang?” Mak menyoal setelah menghidangkan makanan. Tudung saji diletakkan di atas lauk pauk yang baru kami masak tadi. 

“Kata Azim pukul 11. Ni dah pukul 11. Tak lama lagilah tu.” Aku jawab acuh tak acuh. 

Aku tak faham dengan mak. Dia tak suka Azim kahwin tapi dia sambut juga bakal isteri Azim tu dengan baik. Siap masakkan lauk ayam lagi. Alasan mak, kita ni ada adab, mesti juga sambut tetamu. Kisah Azim nak berhenti belajar demi menyara janda beranak lima tu aku ceritakan pada mak malam tadi. Mak nampak sedih tapi dia tak banyak cakap. Agaknya mak dah boleh terima hakikat Azim bukan seperti yang kami harap-harapkan.

“Mak basuh pakaian dulu.” Mak bergerak menuju ke biliknya. 

“Mak masuk aje dalam bakul. Nanti kakak yang basuh. Belakang mak tu kan sakit.”

Sejak minggu lepas mak mengadu sakit belakang. Itu yang aku tak nak mak cuci baju dia sendiri. Lagi pun tak elok mencangkung lama-lama bila sakit belakang. Rumah kami ni mana ada mesin basuh. Nak mencuci kena cuci pakai tangan aje. 

“Sehelai dua aje baju mak tu,” balas mak dari dalam bilik. 

Aku duduk di atas lantai sambil berusaha nak capai remote control yang terletak di atas meja kecil. Azalea yang sedang membaca buku novel sambil berbaring tu aku tolak kakinya sedikit dengan hujung kakiku. 

Azalea pandang ke arahku. “Kenapa?” Soal Azalea. 

“Elok sangat tetamu nak datang dia berbaring terlentang dekat ruang tamu.” Aku menegur. Dengan bantal dia yang dah lusuh tu memang nampak macam tak peduli Azim nak bawa bakal kakak ipar ke rumah. 

“Biarlah. Nanti dia orang datang Lea masuklah ke bilik,” jawab Azalea bersahaja. 

“Novel apa tu? Baru ke?” Aku tanya. 

“Semalam pinjam kat library.” Azalea tunjuk pada aku muka depan novel yang dia baca. Mr. Mafia, I Love You. 

“Amboi tajuk.” Aku berdekah ketawa. Nampak sangat yang menulis novel ni kanak-kanak baru baligh. 

“Tajuk aje macam ni. Cerita kat dalam boleh tahan sedap. Best.” Azalea tersengih. Daripada terlentang, dia ubah kedudukan mengiring. 

“Cuba cerita kat akak apa yang best tu.” Catchy juga tajuk cerita tu sebenarnya. Walau sekali imbas macam budak-budak tak cukup usia yang tulis. Berangan sangat. Mafia apanya dekat Malaysia ni? Kalau mafia betul memang tak dan cakap I love you. Muka mafia mesti menakutkan. Dia ingat muka mafia macam Vincenzo Casano ke? Yang tu mafia jambu... Wujud dalam drama fantasi aje. Tapi memandangkan buku tu pun fantasi penulis, aku tak patut kritik lebih-lebih. Sama ajelah buku tu dan drama. Sekadar fiksyen ciptaan semata-mata. 

“Ceritanya macam ni... Heroinnya selalu kena buli. Kira macam Cinderella lah. Dia dibesarkan oleh mak saudara. Jadi dia ni seperti orang gaji kat rumah sendiri. Dia tak tinggal kat rumah dengan mak saudara dia. Dia tinggal dalam stor belakang rumah. Pintu stor tu tak attach ke dalam rumah. Pintu terus ke luar. Tempat tu pula sempit. One day, selepas dia habis lipat baju kat rumah mak saudara dia, dia baliklah ke stor tu... Masa dia tengah buka pintu, tiba-tiba dia rasa ada pisau mencucuk kat perut dia. Dia tak berani toleh tapi dia tahu orang tu lelaki sebab besar dari dia... Senyap-senyap dia masuk bilik dan lelaki tu pun ikut dia, dan terus kunci pintu bilik stor tu... Rupanya mafia yang baru gaduh dengan mafia lain dan cedera terkena tetak bahagian bahu. Dalam pelarian kiranya. Jadi heroin kena rawat hero sepanjang hero sakit. Dekat stor tu lah heroin kena layan macam-macam permintaan hero. Dahlah handsome...”

“Mana tau handsome?” Aku menyoal. 

Azalea jeling aku dengan pandangan mata yang tajam. Dia alih bantal ke dada sambil letak buku ke atas lantai seperti tidak berminat menyambung perbualan denganku lagi. “Penat-penat orang cerita ni bukan berfaedah pun untuk akak. Akak baca sendiri kalau nak tahu. Lea nak sambung baca.” 

Aku tergelak kecil. “Bagi tahulah ending dia macam mana. Teringin nak tahu ni...”

“Lea tak baca habis lagi ni, kak...” Dia lepaskan keluhan panjang. 

“Dah habis baca nanti ceritalah kat akak.”

“Itulah orang kata, budaya membaca ni budaya yang mulia. Macam akak ni malas membaca, mana nak cari kemuliaan hidup entah.” Selamba dia memerli. 

Aku tepuk pungung dia yang kebetulan menghadap aku. Dia terus terduduk sambil menyeringai. 

“Akak ni tak sempat nak membaca, kerja kat rumah banyak. Kerja kat tempat kerja akak pun banyak.” 

Terjuih bibir dia mendengar bebelanku. Tapi tak lama lepas tu dia maniskan wajah. 

“Kak, pinjam telefon...” 

“Nak buat apa?” Aku berkerut. 

“Nak cari instagram penulis cerita ni.” 

Aku julingkan mata. Telefon di tangan aku hulurkan pada dia. Tersenyum-senyum Azalea buka telefon pintarku. Mataku pula mula terarah ke kaca tv. Dalam banyak-banyak benda kat rumah ni, tv tu lah yang paling mewah kami ada. Aku beli dari Wan sebab dia nak beli tv baru yang lebih canggih katanya. Dia beria nak bagi free tapi aku berkeras bayar. Aku tak suka ambil kesempatan hanya disebabkan kami rapat walau ya dia jenis pemurah dan baik hati. Aku tak sedap sebab asyik terhutang budi pada Wan. 

Kalau mak atau adik-adik aku sakit, dialah yang hantarkan kami ke klinik. Dulu sewaktu Azim ada, dia selalu melepak kat rumah aku. Fast food tak pernah lokek. Satu rumah makan KFC, McD dan apa-apa aje yang Wan pesan... Merasalah juga kami beradik makan makanan mewah. Bila Azim dah sambung belajar, dan adik bongsu aku, Azam dah masuk sekolah berasrama, Wan tak pernah melepak kat sini. Dia sedarlah kut dalam rumah ni semuanya perempuan. Takkan nak buat rumah ni macam rumah dia pula?

TV tu aku bayar RM 200 aje kat dia. Walhal aku rasa harga sebenar mencecah ribuan ringgit. 

Bunyi whatsApp mengganggu perhatianku. “Jangan baca whatsApp akak eh.” Aku sempat memberikan amaran kepada Azalea.  

Azalea mengangguk kecil. 

Selepas 10 minit, dia beri semula telefon tu pada aku. 

“Kak, Lea rasa Abang Wan tu sukakan akak.” 

“Hah?” Aku pandang wajah Azalea dengan sedikit kabur. Demam ke budak ni tiba-tiba jadi tukang tilik hati Wan?

“Cuba akak tanya, dia sukakan akak ke tak...” Azalea menongkat kepala dengan sebelah tangannya. 

“Apa hal nak tanya macam tu kat dia?” 

“Tanya aje. Dah lama sangat akak berkawan dengan Abang Wan. Kalau dia tak sayangkan akak, tak mungkin dia layan akak macam ni.”

“Layan macam ni tu macam mana? Jangan bagi akak keliru, boleh tak?” 

“Inilah masalah akak. Akak terlalu blur... Kesian Abang Wan tu. Tapi sama ajelah dua kali lima Abang Wan dengan akak. Masing-masing suka satu sama lain tapi dua-dua jenis yang slow pace.” 

“Jangan merepek. Akak nak tengok tv.” Aku cuba abaikan kata-kata Azalea. Apabila Azalea menyambung bacaan novelnya, aku jadi lega. 

Azalea tak tahu yang aku pernah kena reject oleh Wan. Dia tak perlu tahu sampai bila-bila. Wan memang prihatin, tapi bukan bermakna dia ada perasaan romantik padaku. 

Aku buka whatsApp. Tak ada pula pesanan baru untukku. Apabila aku pandang nama Wan Furqan yang paling atas, tahulah aku si Azalea yang membaca pesanan ringkas itu dulu. Aku mengeluh. Padanlah dia ingat Wan ada perasaan dekat aku. Wan hantar gambar-gambar semalam semasa aku teman dia joging di tepi pantai. Gambar aku tengah duduk dekat batang pokok, gambar aku sedang pandang pantai, gambar aku main pasir dengan kaki... 

Ni yang Azalea maksudkan Wan ada perasaan pada aku? 

Sampai kiamat pun aku tak percaya.