Bab 3
SUMPAH dia tak mahu menangis. Tapi air mata tetap mahu keluar dan akhirnya menitis tanpa henti di pipi. Dia menangis bagai nak gila depan TNB! Pekerja di situ kata, dia perlu membayar sekurang-kurangnya RM 300 untuk memasang kembali eletrik yang telah dipotong.
Duit di dalam purse lusuh itu direnung lama. Berbaki tepat 200 ringgit setelah dia melangsaikan tunggakkan bil air. Dalam masa yang sama, ada beberapa ringgit perlu diasingkan untuk kegunaan harian seperti minyak motor dan barang dapur.
Duit minyak motor perlu disimpan sekurangnya RM 100. Barang dapur pula setidaknya dia perlu membeli beras dan telur. Walaupun tiada barang basah untuk dimasak asalkan adalah sesuatu yang boleh mak makan nanti.
Memikirkan semua itu membuatkan Hanim menangis beria-ia tanpa rasa malu lagi. Dirinya rasa terlalu hopeless. Perlu menunggu 29 hari lagi untuk gaji akan datang.
Dengan langkah yang gontai, dia berlalu mendapatkan motor yang terparkir di seberang jalan.
Sekali lagi tangisan Hanim pecah. Tersedu sedan dia memijak pedal di kaki. Menekan beberapa kali tetapi tetap enjin motornya tidak hidup.
Hanim ketuk meter motor sambil menghempas punggung di tempat duduk.
"Ya Allah! Apa lagi!" Jerit Hanim tak berdaya dengan keadaan yang terus menekan. Pipi dah lencun dengan air mata.
"Sabar...sabar. Meh saya tolong."
Hanim tersentak! Terus mati tangisan dia kerana terkejut disapa seseorang dengan tiba-tiba. Pantas dia berpaling ke kanan.
Di samping motornya terparkir sebuah Ducati berwarna merah dan ada seorang lelaki memakai helmet full face sedang bergegas turun dari motornya. Sarung tangan kulit berwarna hitam turut ditanggalkan dan diletakkan di atas tangki minyak motor superbike itu.
"Nah, lap air mata tu. Teruk sangat menangis ni." Sapu tangan berwarna kelabu diambil dari kocek seluar jeans.
Terkebil-kebil Hanim renung sapu tangan yang tepat berada di depan muka dia.
"Ambillah. Lap muka tu. Meh saya tolong cek motor awak." Si jejaka hulur bantuan lagi. Disodor lagi sapu tangan ke arah si gadis.
Sejak tadi dia lihat gadis itu menangis beria-ia depan pejabat TNB. Naik pelik pula dia. Teruk sangat ke perkhidmatan TNB sampai gadis itu meraung begitu?
Dalam keadaan teragak-agak, Hanim sambut juga sapu tangan itu. Wajah yang basah dilap. Dan ketika itu dia tercium haruman maskulin si lelaki. Terus emosinya yang berkecamuk tadi kian tenang. Sedu sedan tangisan Hanim pun terhenti dan dia hanya diam memerhati lelaki itu gigih menghidupkan motornya.
Terbit rasa kesian di hati melihat betapa gigihnya lelaki itu mahu membantu. Susah payah memijak pedal sedangkan motor mahal lelaki itu hanya perlu dihidupkan dengan menekan suis.
"Saya rasa motor awak ni habis minyak. Meter pun dah tak berfungsi ni. Tu sebab awak tak tahu minyak habis." Sedikit mengah Faris menjelaskan. Pergh! Baru nak start enjin Honda EX5 dah mengah. Memang dia perlu mula daftar ke gim nampaknya. Stamina dah out!
Hanim gigit hujung bibir. Bukan dia tak tahu meter motor tu rosak. Dah lama pun rosak, tapi dia yang tak pergi betulkan. Selama ini dia main agak saja berapa kelajuan dan berapa minyak yang ada.
Cuma kali ini dia terlupa nak isi gara-gara emosinya yang tak betul sejak peristiwa pagi tadi di rumah.
"Saya tolong awak."
Hanim panggung kepala. Dia hanya diam bila lelaki itu kembali naik ke atas Ducati merah.
"Jomlah,” gesa Faris bila Hanim masih berdiri di tepi motornya.
"Pergi mana?" Hanim terpinga-pinga. Masih blur dengan semua yang terjadi sekarang ni.
"Saya tolong tunda motor awak sampai stesen minyak. Awak naik, saya tolak pakai kaki." Enjin superbike dihidupkan dan diundur keluar motor besar itu dari petak parkir.
Hanim akur. Bergegas dia juga mengundurkan motornya.
Faris letak kaki kanan di tepi motor Hanim dan disorong sehingga ke stesen minyak yang terdekat. Mujur ada stesen minyak dekat-dekat situ kalau tak memang kejang juga kaki Faris. Tak pun tiba-tiba berotot besar sebelah kakinya.
“Tu, pump nombor 5 kosong.” Faris tunjuk arah kirinya. Motor Hanim ditolak sampai ke sana.
Bergegas Hanim seluk poket seluar tracksuitnya. Mengeluarkan purse dan menuju ke kaunter bayaran. Terpaksalah Hanim pejam mata mengisi minyak motor. Sementelah duit memang tak cukup untuk bayar bil eletrik.
"Terima kasih. Susah payah awak bantu saya. Lenguh tak kaki tu?" Hanim kerling kaki si lelaki yang berbalut seluar jeans jenis slim fit itu. Harap-harap tak apa-apa.
Faris hanya tersenyum. Tapi sebab dia masih tak tanggal helmet yang menutup muka, jadinya Hanim hanya nampak mata Faris yang menyepet.
"Lenguh juga."
Alamak! Terus berubah riak muka Hanim. Tak sangka mamat ni jenis jujur. Langsung tak ada basa basi.
"Err..."
"Saya gurau ajelah. Bukan jauh benar pun sampai nak rasa lenguh." Tergelak Faris bila melihat betapa pucatnya muka si gadis.
"By the way, saya Faris." Sambil menuju ke motornya yang diparkir belakang motor si gadis, Faris memperkenalkan diri. Dari tadi dia tak tahu nama gadis yang dibantunya itu.
"Hanim."
Faris dah bertenggek atas motor Ducati merah. Memakai sarung tangan kulit sambil matanya melihat Hanim yang masih mengisi minyak pada tangki motor. Mata berpandangan seketika dan bibir saling bertukar senyum.
“Awak kena hantar kedai cepat tu. Betulkan meter. Nanti jadi macam ni lagi susah juga. Awak tu perempuan.”
“Err… baik. Terima kasih.” Teragak-agak Hanim mengangguk. Tak fasal-fasal dia kena sekolah dengan mamat ni.
"Semua dah settlekan? Saya pergi dulu ya." Melihat Hanim dah selesai mengisi minyak, Faris juga mula menghidupkan enjin motor besarnya.
"Baik, terima kasih tau." Hanim senyum lagi. Bersyukur ada orang yang sudi membantunya. Hilang juga satu beban di bahu ni. Walaupun Faris hanya membantu menolak motor hingga ke stesen minyak tapi bagi Hanim besar pertolongan itu ketika dia rasa dirinya terlalu hopeless.
"No hal!" Faris angkat tangan menyapa Hanim dan tak sampai sesaat berdesup motor besar itu hilang dari pandangan mata.
“BARU balik, Nim?” tegur mak sebaik sahaja Hanim melangkah masuk ke dalam rumah.
Hanim hanya diam tidak menjawab, melabuh punggung di sebelah mak. Wajah mak dikerling sekilas. Ada kesan lebam di pipi dan tepi mata mak. Terus dadanya terasa diramas-ramas. Nafas ditarik dalam-dalam agar tidak meluap emosinya pada orang yang salah.
“Pergi mana tadi?” tanya mak lagi. Mahu mengambil hati si anak. Dia tahu Hanim masih marah dengan peristiwa pagi tadi. Dan gara-gara itu, dia pula dibelasah Hasan setelah Hanim dan Hanafi keluar dari rumah.
“Cari kerja.” Kerja di kedai Kak Lina bermula jam 6 petang sehingga 12 malam. Jadinya dia boleh cari kerja di siang hari.
Kepala Hanim yang beralas tudung bawal lusuh diusap mak lembut.
“Hanim kan dah kerja di kedai makan Lina. Kenapa nak cari kerja lagi?”
“Kalaulah waktu kerja tu singkat, dah lama aku buat tiga empat kerja mak! Semata-mata nak tanggung biawak hidup dekat rumah ni!” Jawab Hanim dengan nada tertahan.
Tangannya terkepal kuat dengan gigi terketap. Mujur abah tak ada ketika itu. Kalau tidak, dia akan bergaduh lagi dengan orang tua itu kerana telah mencederakan maknya.
Mak terdiam.
“Aku mintak maaf kalau buat mak terasa. Tapi aku sakit hati! Aku penat mak dengan apa yang jadi pada keluarga kita ni. Tengok tu, pipi mak tu! Bengkak! Sampai bila mak nak bertahan?”
“Mak…”
“Sampai abah berubah?” Potong Hanim laju. Tak mahu lagi mendengar alasan mak yang tak habis-habis dengan alasan yang sama.
“Orang tua tu dah 60 tahun mak. Tapi ada mak nampak dia berubah? Ada? Sampai mati pun dia akan terus macam tu!”
“Hanim. Tak baik cakap abah macam tu, nak. Walau apa pun dia… dia tetap abah kau.”
“Abah, tapi tak serupa seorang abah! Seorang abah takkan buat hidup kita melarat macam ni. Seorang abah akan bertanggungjawab pada isteri dan anak-anak dia. Tapi apa yang kita dapat? Menanggung hutang dia, menanggung makan minum dia. Lepastu menanggung sakit kena sepak terajang dia. Abah ke tu mak? Abah ke?”
Hanim meraup wajah. Memeluk lutut sambil bersandar di dinding rumah. Ruang tamu yang kosong tanpa sebarang perabot itu direnung lama. Kosong pandangan mata dia, sekosong suasana rumah ini.
Rumah yang tiada bahagia. Rumah yang tak layak disebut rumah kerana tujuannya hanya untuk menumpang tidur sahaja. Tiada gurau senda atau kasih sayang di situ.
“Dah berbuih aku cakap dengan mak. Tapi mak tak pernah nak dengar cakap aku. Sudahnya nanti, mak tetap cari aku untuk tolong mak.”
“Habistu kau merungut la mak susahkan kau.” Bibir mak dah terketar mahu menangis. Terasa hati mendengar luahan anaknya.
Dari mula kahwin lagi dia dah diherdik dan dicaci Hasan dengan perkataan ‘menyusahkan’ kini Hanim juga mengatakan benda yang sama. Dia memang tak patut hidup. Hidup dia hanya menyusahkan Hanim dan Hasan.
Hanim mendengus sebal. Lantas bahu mak dipaut erat. Air mata Hanim menitis dalam diam tatkala meraih tubuh mak dalam pelukan. Mak dah terlalu kurus. Kesal kerana mak masih juga mahu menanggung derita di sini.
“Hanim ada untuk jaga mak. Tolonglah mak! Tolonglah faham apa yang Hanim nak. Kita boleh hidup berdua tanpa dia.” Pujuk dia perlahan.
“Mak tak kuat. Mak takut.”
“Hanim bukan budak kecil lagi yang hanya menangis di belakang mak tengok saja apa yang dia buat pada mak. Hanim dah besar. Hanim boleh lindungi mak.”
Tangisan mak pecah. Dipeluk erat tubuh Hanim dan bahu Hanim sentiasa ada untuk dia bersandar dan melepas rasa yang menjeruk hati selama ini.
“Assalamualaikum!”
Tangisan dua beranak itu terhenti. Cepat-cepat pelukan dileraikan dan air mata di pipi dikesat.
Hanim bergegas bangun menuju ke pintu. Mahu melihat gerangan yang datang ke rumah.
“Waalaikumussalam.”
“Saya dari TNB. Nak pasang meter.”
Eh! Hanim tercengang sesaat. Rasanya dia tak bayar lagi bil yang tertunggak. Segera dia mencari resit bil di dalam kocek seluar tracksuitnya. Diseluk setiap poket tapi tak ada.
“Er…”
Terkebil-kebil Hanim lihat pekerja TNB itu memasang meter di dinding luar rumah dia.
Mak keluar dari rumah setelah lampu dan kipas di ruang tamu menyala.
“Terima kasih Hanim.” Marah-marah Hanim, tapi tetap anaknya usaha untuk membayar segala bil untuk kelangsungan hidup mereka.
Hanim yang masih tertanya-tanya hanya diam. Dia tak bayar bil eletrik macam mana boleh hidup ni? RM 300 tu!