BAB 3 | KITA HANYA KAWAN

BAB 3 | KITA HANYA KAWAN

BAB 3

 

 

MERDEKA!

            Lega hati Lana sebaik saja selesai menjawab kertas peperiksaan yang terakhir. Lepas ni, dapatlah dia berehat sementara menunggu tawaran belajar. Dia sudah merancang untuk mencari pekerjaan selepas ini untuk membantu Puan Seha. Nak harapkan ayah, kebulurlah mereka dua beranak.

            “Lana!”

            Lana berpaling ke belakang. Senyuman lebar terukir di bibirnya. Laju dia berlari ke arah lelaki itu.

            “Macam mana kertas tadi?” soal Lana.

      “Alhamdulillah. Macam yang aku jangka semalam, memang soalan ramalan tu yang keluar. Tak sia-sia kita buat ulang kaji semalam.” Kepala Lana yang masih berlapik dengan tudung itu, digosok kasar.

            Lana tepis tangan Ali. Habis senget tudung di kepalanya. Dia dah masak sangat dengan perangai Ali. Suka betul berkasar dengannya.

            “Kau nak balik terus ke?” soal Ali sambil berjalan beriringan bersama Lana di sebelah.

            “Baliklah. Aku nak tidur. Dah beberapa malam, aku tak cukup tidur.”

            “Jomlah kita celebrate dulu. Kita makan-makan. Nak?”

            Lana hembus nafas kasar. Bukannya dia tak teruja dengan ajakan Ali. Tapi poket dia pun, tak berapa nak ada duit.

            “Aku tak ada duitlah.”

            “Aku belanja.” Selamba saja Ali menarik bahu Lana rapat ke arahnya. Lana berdeham sedikit. Bukan dia tak biasa dengan aksi lelaki itu. Cuma sejak beberapa tahun yang lepas, dia akui hatinya sudah mula terusik dengan lelaki ini.

            “Sekarang ke?”

            “Kita balik rumah dulu. Pukul tiga aku datang ambil kau dekat rumah.”

            “Okey.” Lana terus bersetuju. Rezeki jangan ditolak. Dapatlah dia habiskan masa bersama Ali petang ni.

            Lana segera mengambil basikal miliknya yang diletak di kawasan tempat letak basikal. Dahinya sedikit berkerut. Baru dia perasan tayar basikal di bahagian belakang sudah kempis.

            “Aduh! Masa nilah dia nak kempis.” Lana sudah bercekak pinggang.

Ali tidak jadi menghidupkan enjin motorsikal sebaik saja perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan Lana. Dia berjalan mendekati gadis itu.

“Kenapa?”

“Basikal aku. Bocor pula tayar belakang ni.” Tayar di belakang basikal itu ditendang geram.

Ali menggeleng perlahan. Dia capai beg sekolah Lana yang ada di dalam bakul basikal. Tangan gadis itu ditarik agar mengikutnya menuju ke kawasan tempat letak motorsikal.

“Kau nak bawa aku pergi mana?” Terpinga-pinga Lana.

“Kau naik dengan aku. Macam tak biasa.” Beg sekolah Lana diletak di dalam bakul motorsikal. Topi keledar diserahkan kepada gadis itu.

“Pakai.”

“Kau tak pakai?”

“Mestilah aku pakai. Aku ada bawa satu lagi. Aku risau kalau-kalau basikal kau tu buat hal.” Tempat duduk motorsikal diangkat terlebih dahulu. Memang dia selalu membawa ke mana-mana topi kedua itu.

“Sayang juga kau dekat aku.” Lana cuba mengusik.

“Gila tak sayang. Kau kawan baik aku kan.”

Senyuman Lana berubah kendur. Tak suka betul dia mendengar ayat itu. Sejak dari sekolah rendah lagi mereka berkawan. Tak mungkin Ali tiada perasaan terhadap dia.

Selama mereka berkawan, dia tak pernah melihat lelaki itu berkawan rapat dengan mana-mana perempuan. Bercinta lagilah tak pernah.

            “Hoi! Berangan pula. Cepatlah naik.”

            Tersengih-sengih Lana. Dia angkat kainnya sedikit sebelum menaiki motorsikal. Nasib baik dia ada memakai seluar panjang di dalam.

            “Peluk aku. Aku takut kau terjatuh.” Ternaik-naik kening Ali.

            “Tak payah nak menggatal. Cepatlah gerak.” Merah wajah Lana. Kedua tangannya berada di belakang motorsikal.

            Ali terus memecut laju motosikalnya. Lana yang terkejut, spontan memegang pinggang Ali. Kuat lelaki itu ketawakan dia.

            “Ali!” Bahu Ali ditampar geram. Memang sengaja agaknya Ali mengenakan dia.

            “Pegang kuat-kuat. Kejap lagi ada juga hilang.” Sekali lagi Ali mengusik.

            Masam mencuka wajah Lana. Memang tak lah dia nak peluk pinggang lelaki itu. Sekarang pun, dadanya hampir meletup menahan debar.

 

 

SEPERTI yang dijanjikan, mereka berdua makan di sebuah restoran. Serba salah Lana. Tempat yang lelaki ini bawa, bukan restoran yang biasa. Kebiasaannya mereka makan di kedai mamak. Banyak pula duit Ali.

            “Betul ke kau nak belanja aku?” bisik Lana.

            “Kau ni… janganlah buat malu aku. Macam tak biasa pula. Cepatlah pesan.”

            Memang Ali dah biasa belanja dia makan. Tapi belum pernah lagi lelaki ini membawa dia ke restoran yang mahal.

            Ali merengus geram. Disebabkan gadis itu masih terpinga-pinga, terpaksalah dia memesan makanan untuk gadis itu sekali.

            “Aku dah oderkan makanan. Kau jangan risau. Makanan dekat restoran ni sedap.”

            “Kau pernah datang dengan cikgu ke?”

            Nak tergelak Ali. Ayah dia dah lama pencen sebagai seorang guru. Susah betul Lana nak mengubah panggilan itu kepada gelaran lain.

            “Ha’ah. Kenapa? Kau ingat aku datang dengan perempuan lain ke?”

            “Mungkin juga.”

            “Banyak sangatlah tengok drama kau ni. Aku manalah pernah ajak mana-mana perempuan keluar. Kau aje yang selalu ada dengan aku. Mungkin sebab tu perempuan susah nak dekat dengan aku.”

            “Kau nak cakap, aku ni penyebab kau tak kenal dengan mana-mana perempuan?” Bengang juga Lana. Tiba-tiba saja dia dikatakan punca lelaki itu tak berkawan dengan perempuan lain.

            “Sentap pula. Aku bergurau ajelah. Kau datang bulan ke?”

            Merah padam wajah Lana. Dia pandang ke arah lain. Sesekali dia betulkan topi di kepalanya. Pada ketika itu, Ali terpandang kesan lebam di lengan kiri Lana. Spontan dia menarik tangan itu.

            “Kenapa dengan tangan kau ni?”

            Terkedu Lana. Hampir terlupa pula dia dengan kesan tersebut. Cepat-cepat dia sembunyikan tangannya di bawah meja.

            “Aku terlanggar almari.”

            “Kau tak tipu kan?” Mengecil anak mata Ali. Bukan setahun dua dia mengenali gadis ini. Sudah lebih 10 tahun mereka berkawan.

            “Hishh… betullah.”

            “Alaina Umairah.” Keras suara Ali ketika ini.

            Terpejam rapat kedua mata Lana. Dia tahu dirinya gagal untuk berbohong. Malah dia sudah cukup faham jika nama penuhnya disebut oleh lelaki itu.

            “Siapa yang buat?”

            Lana kemam bibirnya sekuat hati. Pada masa yang sama, seorang pelayan muncul di meja mereka sambil menghidangkan makanan dan minuman. Perbualan mereka terhenti seketika.

            Sebaik saja pelayan itu pergi, Ali masih menunggu jawapan Lana. Dia yakin ada sesuatu yang berlaku.

            “Kita makan dulu.” Lana cuba mengelak.

            “No. Kau beritahu aku. Siapa yang buat kesan lebam tu?”

            “Ali…”

            “Bapak kau kan?”

            Lana tarik nafas dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Hanya anggukan yang diberi sebagai jawapan. Bukan kali pertama dia dipukul. Malah lebih teruk dari ini pun dah pernah.

            “Melampau. Kali ni sebab apa pula?”

            “Biasalah ayah aku tu. Kalau ada yang tak kena, baran dia tu tak boleh kawal.” Tak sanggup dia menceritakan kejadian sebenar. Tak mungkin dia menceritakan kepada Ali tentang paksaan Encik Hilal untuk dia bekerja di kelab malam.

            “Kau tak boleh biarkan. Kita buat laporan polis. Sekurang-kurangnya dia dah tak boleh pukul kau sesuka hati.”

            Tercengang Lana. Laju dia menggeleng tanda tidak setuju. Sejahat-jahat orang tua itu, tak tergamak untuk dia membuat laporan polis.

            “Jangan, Ali! Aku tak nak. Aku kesiankan mak. Kau pun tahulah. Selama ni, aku bertahan sebab mak. Kalau tak, dah lama aku tinggalkan rumah tu.”

            “Pandai sangatlah otak kau berfikir. Ada hati nak tinggalkan rumah tu. Sanggup pula kau tinggalkan kawan baik kau ni.”

            Marah betul Ali. Dari dulu lagi dia tak setuju Lana terlalu berlembut terhadap Encik Hilal. Walaupun gadis ini berwatakan kasar seperti lelaki, masih ada lagi sisi lembut yang ada dalam diri gadis ini.

            “Kenapa? Kau sedih ek kalau aku tinggalkan kau?” Suka pula dia mengusik Ali.

            “Dah mulalah tu. Makanlah. Sekali lagi aku dapat tahu orang tua tu pukul kau, aku sendiri yang akan buat laporan polis.”

            Lana tersenyum kelat. Dia menyedut air minuman yang ada di hadapannya.

            “Lepas ni apa plan kau?” soal Ali sambil menjamah makanan.

            “Cari kerja. Kerjalah apa-apa pun. Asalkan aku boleh menyimpan untuk sambung belajar.”

            Tak jadi Ali menyuap makanan ke mulut. Lama dia merenung wajah Lana.

            “Mak kau tahu?”

            “Ehmmm… mestilah dia tahu,” jawab Lana dalam keadaan mulut yang penuh dengan makanan.

            Ali menarik nafas panjang. Tak suka betul dia melihat Lana menyusahkan diri sendiri. Sebelum ini pun, Lana selalu bekerja separuh masa di sebuah kedai makan pada hujung minggu. Sudah acap kali dia menawarkan wang kepada gadis itu tetapi Lana enggan menerimanya. Malah ayahnya pernah ingin membantu Lana menyambung pelajar jika keputusan peperiksaan STPM mereka cemerlang.

            “Kau tak payah kerjalah. Rehat aje dulu. Kan abah aku dah janji, nak bantu kau.”

            Lana menggeleng.

            “Aku nak usaha sendiri. Seganlah. Cikgu dah banyak sangat tolong aku. Nanti apa pula kata orang lain.”

            “Pulak. Selama ni ada yang mengata kau ke?” Berkerut dahi Ali.

            “Aku cakap aje. Sebelum ada yang mengata, lebih baik aku mengelak,” bohong Lana. Memang ada yang mengata. Ada beberapa pelajar di sekolah, menganggap dia berkawan dengan Ali bersebab. Ada juga pelajar yang dengki melihat hubungannya yang baik bersama Haji Muzammil.

            Selepas mendengar jawapan Lana, Ali tidak mahu membalas lagi. Ada baiknya dia membiarkan saja gadis itu membuat keputusan. Pada masa yang sama, dia akan sentiasa memastikan keadaan gadis itu baik-baik saja.

            Yang menjadi masalah sekarang, dia serba salah untuk berterus terang kepada Lana. Tentang niatnya belajar di luar negara.

 

 

 

 

Pratempahan klik SINI