BAB 2 | MY SWEETEST PAIN

BAB 2 | MY SWEETEST PAIN

BAB 2

SELESAI mandi, aku terus ke ruang tamu. Bekas makanan aku buka dan kuletak di atas lantai. 

Pinggan yang aku bawa dari dapur tadi, aku isi dengan lauk pemberian Kak Fiza. 

Aku tadah tangan nak baca doa. Tapi tak sempat lagi aku buka mulut, tiba-tiba mak muncul dari bilik dia dengan air muka yang cukup keruh. 

“Kenapa mak?” Aku tanya. 

Mak duduk bersimpuh di depanku. 

Cepat-cepat aku hulur pinggan yang sudah berisi nasi dan lauk kepada mak. Aku ambil satu lagi pinggan untuk diri sendiri. Adik-adik lain dah masuk bilik. Dia orang dah makan tadi. 

“Azim buat hal. Mak tak sangka dia macam tu.” 

“Kenapa dengan Azim?” Jarang-jarang nama Azim menjadi sebutan mak. Dari dulu Azim menjadi anak kebanggaan mak. Dia cemerlang dalam pelajaran dan menjadi harapan keluarga kami. Dalam adik beradik, Azim juga yang paling rapat dengan mak. Orangnya soft spoken dan tahu cara melayan orang tua. Rasa aneh pula apabila mak menyebut nama Azim dengan nada marah. 

“Dia telefon mak, katanya nak menikah.” 

Aku yang baru menyuap makanan ke mulut terus tak jadi. Wajah mak aku pandang dengan rasa keliru. Mak ni biar betul?

“Mak cakap pasal Azim yang mana satu?” 

“Azim mana lagi? Yang tengah belajar tu lah.” 

Ah sudah... Kenapa dia nak kahwin tiba-tiba?

“Mak pasti ke dia nak kahwin? Dia nak bagi bini dia makan apa?” 

Mak mengerut dahi. “Hujung minggu ni dia bawa bakal isteri ke rumah kita.” 

Aku membulatkan mata. “Dia serius ke nak kahwin?” Sukar untuk aku percaya. Awalnya aku ingatkan mak main-main aje. 

“Tak pun Azim main-main kut?” Bibirku menggumam. 

“Dia kata bakal isteri dia tua 10 tahun.”

Nasi yang ada di tanganku terjatuh ke pinggan semula. 10 tahun? Tua dari aku 6 tahun? 

“Hah?” Aku tercengang. 

“Janda anak lima.” 

Aku tersedak air liur. Cepat-cepat aku mencapai air minum apabila terbatuk keras. Padanlah muka mak berkerut-kerut dari tadi. 

“Ya, kak... Mak tak mampu nak cakap apa dah dengan budak tu. Katanya dia kesian kan janda tu. Dia kata dia nak tolong janda tu.”

“Tolong apanya mak? Dia hidup kat universiti tu pun kita yang hantar duit untuk dia!” Aku terjerit gara-gara tidak mampu mengawal rasa terkejut bercampur marah. 

Aku boleh terima kalau dia nak kahwin dengan kekasih dia. Tapi dia kahwin sebab nak tolong orang? Sepatutnya dia cermin diri sendiri. Dia tu yang perlukan bantuan orang lain untuk teruskan kehidupan. 

“Itulah mak dah cakap dengan Azim. Tapi dia berdegil nak kahwin dengan dengan janda tu. Jenny pujuklah si Azim untuk tukar fikiran. Janda anak lima tau... Mana dia nak tanggung isteri lagi, anak-anak tiri dia lagi... Takkan kita yang kena tanggung?” Mak tolak pinggan nasi. 

Aku pun dah tak berselera untuk menjamah makanan. Rasa kelat tekak ni memikirkan masalah Azim. 

“Azim dah gila ke?” Tanpa sedar bibirku sudah menyebut perkataan gila. Aku bukan apa. Selalu aku dengar kes-kes macam ni di media sosial sahaja. Apabila terkena dekat keluarga sendiri, aku tak mampu terima. Kat mana akal logik Azim yang dulu pernah berikrar mahu mengubah ekonomi keluarga kami? Sekarang ni dia dah belakangkan keluarga sendiri demi keluarga orang lain!

“Mak pun rasa macam tu.” Mak mengeluh. 

Aku sentuh dahi yang terasa berat. Tak pasal-pasal perasaan aku yang tadinya sedih dan terkilan kerana sikap Wan Furqan terus berubah 360 darjah jadi marah dan geram pada Azim, adik bertuah aku tu. Sia-sia aje aku berkorban selama ni demi Azim. Aku kumpul duit gaji 3 bulan demi nak belikan dia komputer riba. Aku sanggup berkorban tak makan sedap-sedap untuk bagi dia duit beli mesin cetak demi kemudahan dia belajar. 

Air mata menitis cepat-cepat aku seka. Aku tak nak mak nampak kekecewaan aku kerana aku tahu kecewa mak lebih lagi berbanding diriku. 

Memang tak ada ke seorang lelaki dalam hidup aku ni yang boleh aku pandang tinggi? Aku dah putus asa dengan kaum lelaki. Lebih baik aku bergantung dengan diri sendiri. Aku tak nak menanam harapan pada Azim atau adik beradikku yang lain. Cukuplah. Aku tak mahu berkorban demi orang yang tak menghargai pengorbananku!

“Mak, kakak dah tak nak dah bagi duit belanja kat Azim. Pandai-pandailah dia.” Aku merajuk. 

Mak diam tak cakap apa-apa. 

Kesian mak. Dari awal pagi memasak dan menjual kuih muih untuk membesarkan kami beradik. Tapi lihatlah, seorang pun tak ada yang mampu memberikan dia kesenangan di hari tua. 

 

 

AKU hantar pesanan ringkas kepada Azim disebabkan aku tak dapat melelapkan mata. 

‘Kau fikir panjang sikit boleh? Mak kita tu nak kau dan adik-adik lain berjaya. Ni kau tak kerja lagi balas jasa dia... Macam mana kau boleh terfikir nak kahwin? Kau harapan keluarga kita tahu?’

‘Aku tetap akan balas jasa mak, jangan risau.’ 

Aku ketap bibir menahan hati yang sedang berapi. 

‘Senang betul kau cakap. Habis anak-anak kau, bini kau, siapa yang tanggung? Kau ingat senang ke nak dapatkan kerja lepas habis pengajian?’ Aku tekan skrin telefon beria-ia. Kalau boleh aku nak tekan biji mata Azim sekali. 

‘Jangan cakap macam tu, rezeki Allah yang tentukan. Dia orang pun ada rezeki dia orang juga.’

Ya Tuhan... 

Memang sah Azim dah gila bayang. Sampai macam tu sekali dia fikir. ‘Aku bukan tak tahu Tuhan bagi rezeki dekat makhluk Dia, Zim. Tapi Tuhan pun bagi otak untuk berfikir. Kalau betul kau nak tolong bakal bini kau tu, kau tunggu sampai kau dapat kerja. Jangan esok-esok kau minta duit dari aku dan mak nak menanggung hidup kau orang anak beranak. Aku kerja selama ni untuk kau dan adik-adik. Kalau macam ni orang buat kat aku, lebih baik aku simpan duit aku dan buat bisnes sendiri.’

‘Esok-esok bila aku dah berjaya, aku bayar balik duit yang kau dah keluarkan untuk aku.’

Air mata aku jatuh ke pipi. Tak ada guna aku mesej panjang-panjang pada Azim. Aku tak rasa aku mampu tukar fikiran dia. 

‘Kalau kau dah rasa keputusan tu terbaik untuk kau, teruskan. Tapi aku mohon sangat-sangat... Nanti jangan susahkan mak. Belanja kau kahwin, anak-anak kau, bini kau, tolong jangan minta kami keluar duit. Tahu tak apa yang mak, aku dan adik-adik lain makan tiap hari? Telur tiga biji kami dadar dan bahagi. Sebab apa? Sebab kami nak kau cukup makan kat sana. Lepas ni, aku tak hantar duit belanja untuk kau. Aku nak belikan mak makanan yang sedap sikit. Pandai-pandailah kau nak cari duit kat mana. Rezeki Allah bagi kat makhluk-Nya. Janji ada USAHA.’ 

Tak sampai seminit dia balas. ‘Okey.’

Aku pejamkan mata rapat-rapat. Patutlah mak sakit hati... Kalau beginilah balasan Azim terhadap mesej-mesej mak, mesti hati terluka. 

Aku tak tahu apa angin Azim sampai sanggup layan aku dan mak macam ni sekali. 

 

 

‘AKU letak makanan kau ni kat depan kaunter aje ek.’ 

Send. Dah lima minit aku tunggu dia kat depan pintu masuk ofis. Ikutkan hati aku letak aje kat kaunter bayaran pasaraya. Tapi sebab dia kata malas nak berjalan keluar, aku terpaksalah masuk. Aku ingatkan dia tunggu kat kaunter ofis, tapi dia tak ada pula. 

‘Kau masuklah ke pejabat aku.’

‘Nak buat apa?’ Aku balas cepat-cepat. Buat perangai betul Wan Furqan. Aku ni kurang rehat sejak semalam. Sekarang nak kena menghadap perangai dia pula. 

‘Teman aku makan.’

Aku ketap bibir. Bungkusan makanan tu aku bawa dan kuletak di atas kaunter ofis. “Dik, ni pesanan makanan Encik Wan Furqan.” 

Kerani yang tengah sibuk menaip segera pandang aku. 

“Oh, Encik Wan... Dia ada kat dalam tu.” Kerani tu tunjuk ke pintu bilik yang tak jauh dari kami. 

“Nanti adik bagilah kat dia.” 

“Tapi Encik Wan kata, kalau girlfriend dia hantar makanan, dia suruh masuk aje.”

Girlfriend dia?” Aku kerutkan dahi. Oh, sekarang dah ada girlfriend ke? Syuhada tu ke?

“Oh. Saya tak tahu pula girlfriend dia nak hantar makanan. Tadi dia pesan makanan kat stall saya. Saya hantar ajelah.” Aku garu kening. “Ni adik bagilah kat dia.”

“Akak bukan girlfriend Encik Wan ke?”

Aku sembunyi senyuman. Dia tak nampak ke aku ke sini pakai baju kerja siap apron lagi? Kalau aku ‘girlfriend’ si Wan, tak adanya aku jumpa boyfriend untuk makan tengah hari pakai baju selekeh macam ni. 

“Bukan. Saya ni pekerja dekat stall makanan mall depan situ.” Aku tunjuk jari ke arah depan. Mesti dia tahu maksud aku. Bukan jauh mana mall kami dengan pasaraya ni. 

Tersenyum-senyum kerani tu pandang aku. “Baik-baik.” Dia ambil bungkusan makanan dari atas meja kaunter. 

“Kau buat apa kat situ? Masuklah dalam pejabat aku.” 

Tiba-tiba suara Wan menegur dari belakang. Aku toleh ke dia. 

“Nak buat apa masuk pejabat kau?” Aku menyoal. Aku pandang langkah Wan menuju ke arahku. Dan sekelip mata saja bungkusan makanan di tangan kerani tadi dia ambil. 

“Masuk cepat. Temankan aku makan.” Dia jeling bagi isyarat mata agar aku mengekori langkahnya. 

Aku hela nafas. Aku sempat pandang kerani tadi. Dia tengah pandang aku dengan renungan semacam. Entah apalah yang dia fikir. Mesti dia aneh dengan keadaan sekarang ni. 

Aku tersengih kecil. “Saya bukan girlfriend dia. Tapi saya ni bestfriend dia.” Aku sempat menjelaskan sebelum melangkah menuju ke pejabat Wan. 

Kerani tadi angguk-angguk aje tanpa sebarang reaksi. 

Apabila aku masuk, Wan bawa langkah menuju ke sofa. Bungkusan makanan diletakkan ke atas meja. 

First time kan kau masuk sini? Ni lah tempat kerja aku.” Dia tunjuk meja kerja dia yang penuh dengan fail dan kertas-kertas. Bersepah-sepah. Barulah aku percaya yang dia ni betul-betul sibuk. 

“Kau dah makan ke?” Soal Wan sambil buka bungkusan makanan. 

“Dah...”

“Jangan tipulah. Mesti kau tak makan lagi.” Dia menduga. 

“Aku dah makan. Sekarang ni aku kena balik kat stall. Tengah hari macam ni ramai orang datang.”

Wan berhenti. Dia tutup semula bungkusan makanan dia. 

“Kau pergilah dulu. Nanti bila dah tak sibuk, kau datang balik ke sini, temankan aku makan.” 

Aku julingkan mata ke atas. 

“Boleh tak kau jangan buat aku ni macam bini kau.” 

Dia tergelak kecil. “Aku tak selera makan kalau tak ada kawan.”

“Kerani kau tu ada. Suruhlah dia mengadap kau makan kat sini.” Aku perli. Bungkusan makanan Wan aku tarik dan tolong dia buka semula. Selepas itu aku tolak ke arah dia. Wan ambil sudu. Dia tadah tangan berdoa tak sampai 20 saat pun. 

“Tapi dia bukan kawan aku, Jen...” 

Ada ada ajelah. Mujur aku dah kenal dia lama. Perangai dia ni juga yang pernah buat aku silap faham pada dia. Aku ingatkan dia sukakan aku. Bila aku luah perasaan, lain pula jadinya. 

“Nurul Syuhada nak datang ke? Tadi kerani depan tu kata girlfriend kau datang bawa makanan.”

“Kau lah kawan perempuan aku tu. Girl... friend...” 

“Patutlah kerani tu salah faham kat aku.” Aku menggumam kecil. 

“Dua minggu lagi aku kena travel balik rumah parents aku.” Wan bercerita. 

Aku angkat kening. “Entah-entah bincang pasal kahwin.” 

Wan ketap bibir. 

“Kau ni suka sangat ke aku kahwin?”

“Suka. Nanti hilang sikit bebanan hidup aku,” ucapku bersahaja. 

Air muka Wan berubah sedikit. “Aku ni bebanan ke?”

“Dah tu?” Aku perli dia. Kalau dia asyik bergantung pada aku aje nak jaga dia, memanglah membebankan. 

“Bila aku kahwin nanti, kau jangan menyesal pula...”

Aku mencebik. “Entah-entah kau yang menyesal.” 

“Kenapa pula aku menyesal?” Dia suap makanan ke mulut. Aku perhati tingkahnya. Dia kalau makan gemar menunduk. Cara dia makan laju. Esok-esok bila dia kahwin, aku tak dapat lagi dah tengok dia makan macam ni. Entahlah. Rasa bercampur aduk aje. Makin lama aku dan dia macam ni, makin susah aku nak move on

“Maksud aku, entah-entah aku yang kahwin dulu.” Aku tersengih menutupi rasa yang berkecamuk ni. 

Dia berhenti menyuap sambil mendongak memandang ke wajahku. “Aku dengar Azim nak kahwin.” 

Senyumanku termati. Cepat betul berita tersebar. Baru malam tadi aku tahu, dan sekarang berita tu sampai ke pengetahuan Wan. 

“Mana kau dengar?” Aku bertanya. 

“Azim hantar mesej kat aku.”

“Dia cakap apa?” Nadaku jadi rendah. Wan keluarkan telefon pintar dia dari dalam poket kemudian dihulurkan kepadaku. 

Aku capai lambat-lambat. Aku buka telefon pintar Wan. 280796. Tarikh hari jadi dia.

Aku buka whatsApp dan baca satu persatu mesej Azim kepada Wan. 

‘Aku nak kahwin. Tapi mak dan kakak aku tak bagi.’ 

‘Kau dah habis study ke?’ 

‘Tak. Aku ingat nak berhenti study. Aku nak cari kerja.’

‘Kalau kakak dan mak kau tahu, mesti dia orang marah. Kau dah habis fikir ke? Bukan senang mak dan kakak kau hantar belajar ke universiti.’

‘Kau tolong pujuk mak aku boleh tak? Aku nak bawa bakal isteri aku balik ke rumah hujung minggu ni.’

‘Aku nak pujuk macam mana? Bukan selalu aku jumpa mak kau.’

‘Kakak aku? Kau pujuklah dia...’ 

‘Nak pujuk apa?’

‘Jangan layan bakal isteri aku kasar-kasar. Kesian kat dia...’

Wajah aku dah naik merah. Bodoh betul. Sampai nak berhenti belajar sebab kahwin? Dia ingat semua orang berpeluang untuk menjejak kaki ke menara gading? Lepas tu boleh pula dia buat-buat hilang ingatan apa yang aku dan mak lalui semata-mata nak hantar dia masuk universiti?

“Jangan baling telefon tu. Aku baru aje beli,” pesan Wan tiba-tiba. 

Aku ketap bibir menahan sabar yang semakin menipis. 

“Dia nak berhenti ke, nak sambung ke, itu masalah dia. Yang bayar duit PTPTN pun dia. Biarlah dia nak buat apa dengan hidup dia.” Aku letak telefon Wan ke atas meja. Hati yang tengah berapi-api ni ada baiknya aku sejukkan dengan kerja. 

“Aku nak sambung kerja. Kau dah habis makan, kan?” Aku bangun dari sofa.

“Nanti aku nasihatlah kat Azim tu. Jangan marah sangat. Bagi ajelah dia kahwin.” 

Aku bercekak pinggang menghadap Wan. “Aku ni kalau tak kenang bakal isteri dia ada lima anak, aku masih boleh terima tau. Tapi bakal isteri dia janda anak lima. Anak mesti kecil-kecil lagi. Aku tak tahu otak si Azim letak kat mana. Sia-sia aje SPM dapat straight A tapi tak boleh pakai otak untuk buat keputusan.” Marahku. 

Wan terbatuk-batuk. Agaknya dia terkejut tengok aku marah macam ni. 

“Serius ke janda anak lima?” Soal Wan. 

“Kau tanyalah dia sendiri...” 

Aku melangkah meninggalkan Wan yang masih lagi termangu-mangu. 

Entahlah. Aku ni yang bermasalah dan jahat sampai tak boleh terima pilihan Azim tu ke atau dia yang bodoh tak boleh pakai otak untuk berfikir. Kut ya pun empati dia tinggi sangat, tak perlulah gadaikan masa depan diri sendiri. Melainkan dia dah kerja, dah ada pendapatan tetap, aku taklah menyirap sangat sampai macam ni sekali. 

Ni kalau mak tahu Azim tengah nak berhenti belajar, mesti sedih orang tua tu. Teringat masa Azim dapat tawaran masuk universiti. Mak lah orang yang paling gembira. Mak kata, tak sia-sia dia bertahan membesarkan kami adik beradik tanpa arwah ayah. Dulu ramai saudara mara nak ambil kami adik beradik jadi anak angkat. Tapi mak berdegil nak besarkan kami dengan keringat sendiri sebab tak nak kami adik beradik terpisah jauh dari dia. 

Mataku mula berkaca-kaca membayangkan betapa terlukanya hati mak bila tahu perkara ni nanti.