Bab 2
"HANIM, nah duit gaji bulan ni." Segumpal duit dihulur padanya. Hanim tersenyum lebar. Cepat-cepat tangan yang basah baru lepas mencuci kuali dilap pada kain yang tergantung di bahu.
"Terima kasih kak!" Hanim mengucap syukur dalam hati. Menunggu gaji keluar sangatlah menyiksakan! Dia perlu mengikat perut untuk berjimat cermat. Mujur dia bekerja sebagai tukang masak di restoran Kak Lina. Dapatlah juga makanan percuma untuk pekerja sepertinya.
Kak Lina tersenyum lembut bila wajah kepenatan Hanim berubah ceria saat dia menghulurkan duit. Gadis berumur 20 tahun itu memang seorang yang sangat rajin dan pandai memasak. Muda lagi, tapi tak pernah dia nampak Hanim merungut dan curi tulang.
Sepatutnya gaji untuk Hanim sebagai tukang masak dibayar RM 70 sehari. Tetapi Hanim sendiri meminta dia kumpul duit itu dan bayar pada hujung bulan. Kata Hanim, dia takut duit gajinya habis begitu saja kalau diberi setiap hari.
"Pergilah balik. Dah pukul 12 malam dah. Pekerja lain semua dah balik."
Hanim angguk dengan bibir yang masih tak lekang dengan senyuman.
"Saya balik dulu ya kak." Bergegas dia mendapatkan beg sandang dan helmet di penjuru dapur restoran.
Motor Honda EX5 milik abah dihidupkan untuk pulang ke rumah.
Sebaik sahaja sampai di rumah, Hanim sedikit pelik bila rumah papan dua bilik itu gelap gelita. Selalunya jam 12, rumah itu masih terang benderang. Ada abah dan si abang yang masih tidak tidur.
Motor dihentikan di tepi rumah. Dan dengan laju dia mendaki anak tangga kayu itu.
"Mak!" Pintu diketuk kuat.
"Mak!" Jerit dia lagi bila tiada sahutan dari dalam.
Tidak lama kemudian bunyi selak dibuka dari dalam dan wajah emak terjegul sebaik sahaja daun pintu terbuka.
"Tak reti bagi salam ke!" Sergah mak dengan muka bengang dek tidurnya terganggu.
Hanim tersengih serba salah.
"Kenapa bergelap ni mak?" Soalnya sambil melangkah masuk ke dalam rumah.
"Eletrik tak ada. Kena potong.”
Dia yang baru sahaja nak masuk ke dalam bilik terhenti. Mengetap bibir kerana nampaknya duit gaji yang dia baru dapat akan hilang dalam sekelip mata.
Lambat-lambat dia berpaling mengadap mak yang berdiri tidak jauh dari situ.
"Berapa tertunggak?"
"Entahlah. Tak sempat tengok, abah kau dah koyakkan," keluh mak. Sakit hati dengan perangai Hasan.
“Abah dengan Napi mana?”
“Entah! Seharian tak nampak muka dua orang tu. Entah berambu ke mana,” bebel mak dengan muka bengang marahkan suami dan anak sulungya.
Hanim mengeluh panjang. Longlai bahu dia memikirkan duit.
"Tak apalah nanti Hanim tengok. Lagipun Hanim baru dapat gaji."
Mak senyum kelat. Bersyukur ada Hanim dalam hidupnya. Kalau tak, tak tahulah apa nak jadi dengan dia. Hanim sajalah yang boleh dia bergantung harap.
"Hanim nak mandi. Lepastu nak rehat. Penat." Hanim tolak pintu bilik tetapi sekali lagi keluhan panjang terlepas di bibir bila mak bersuara....
"Air pun kena potong, Nim. Tadi mak mandi di surau."
Allah... Badan direbah atas tilam nipis.
Terkebil-kebil dia merenung siling bilik. Perlahan-lahan mata terpejam kepenatan. Walaupun badan terasa melengas dek peluh ketika bekerja tadi, tapi tetap Hanim tidur lena malam itu. Terlalu penat mental dan fizikal.
“MAK, cepat mak.” Pintu bilik mak diketuk bertalu-talu. Badan dia rasa belengas dan berbau semacam kerana seharian tak kena air.
“Sabar boleh tak! Aku nak cari tudung aku ni.”
“Pakai ajelah telekung mak. Karang orang penuh kat surau malu pulak kita nak mandi,” bebel Hanim depan pintu bilik mak.
Mak buka pintu dengan muka bengis. Geramkan Hanim yang membebel macam mak nenek!
“Dah siap. Jom!” Dengus mak lantas terus keluar dari bilik.
Hanim tersengih.
Pada jam 5 pagi, Hanim dan mak berjalan kaki menuju ke surau yang berada tidak jauh dari rumah mereka. Di tangan masing-masing ada beg plastik berisi peralatan mandi, tuala dan telekung.
Alang-alang nak mandi di surau, mereka terus saja solat subuh di sana. Takkan nak terus balik, nanti apa pula kata orang kampung yang datang ke surau. Sampai di rumah, abah dah terpacak depan pintu dengan muka bengis.
"Kau tak bayar bil ke? Panas tahu tak duduk kat rumah ni! Dah la aku nak mandi tak ada air!" Kepulangan Hanim dan mak disambut dengan jerkahan abah.
Kedua wanita itu hanya tayang muka tak ada perasaan. Dah mati rasa dengan perangai lelaki tua itu.
"Abah pergi mana malam tadi tak balik?" Soal Hanim berani.
"Kau jangan nak masuk campur hidup akulah! Kau tu jalankan tanggungjawab sebagai anak! Barang dapur pun tak ada. Aku lapar!"
Mak Ecah geleng kepala perlahan. Mati kata mahu berlawan lidah dengan suaminya itu. Dah 24 tahun mereka bersama, dia masih tak habis fikir cara permikiran lelaki bernama Hasan itu.
Hanim tergelak sinis. Kepala yang bertutup dengan telekung digaru walaupun tak gatal. Dengan selamba dia menghayun langkah mendaki anak tangga rumah papan itu dan berdiri betul-betul depan abahnya.
"Hanim tahu tanggungjawab Hanim. Tapi abah tu? Sedar tak tanggungjawab abah? Pernah bagi nafkah dekat mak? Ada bagi mak duit beli barang dapur? Ada bagi mak duit untuk beli pakaian?"
Pang! Kepala Hanim terteleng ke kanan.
"Abang!" Mak menjerit kecil. Terkejut melihat Hanim ditampar depan matanya. Tangan suaminya ditepis kuat dari terus mahu memukul anak bongsunya itu.
Abah cekak lengan mak dan menolak mak ke tepi.
"Kau diam, Cah! Biar aku didik anak kurang ajar macam dia ni!"
Hanim senyum sinis. Pipi yang terasa pijar dek tamparan abah diusap perlahan. Tajam mata dia melawan anak mata abah yang terjegil seperti mahu dimakannya tubuh Hanim hidup-hidup.
"Hanim kurang ajar, sebab abah yang tak pernah ajar!"
Pang!
Sekali lagi tamparan abah mendarat. Kali ini di pipi kanan pula. Dan Hanim jatuh terduduk di lantai.
"Sudahlah abang! Orang tengok tahu tak!" Mak menerpa mendapatkan Hanim. Pipi si anak dibelek lembut. Ada darah di sudut bibir Hanim.
Hanim tepis lembut tangan mak. Bergenang matanya menahan sakit di muka dan sakit di hati.
Dalam masa yang sama motor Hanafi menjalar masuk ke perkarangan rumah.
"Bergaduh lagi? Itu ajelah kerja orang kat rumah ni! Muak aku!" Jerit Hanafi sambil membuka helmet.
Hanim malas mahu bergaduh lagi, lantas dia bangun dan bergegas masuk ke bilik.
"Kau diam Napi! Kau lagi tak berguna kat rumah ni!" Potong abah tidak kalah lantang.
Kuat suara abah, sehinggakan orang kampung yang lalu lalang mahu pergi bekerja tertoleh-toleh melihat ke rumah mereka setiap kali melintas di situ.
"Aku tak berguna? Kau tu berguna sangat ke!" Hanafi meludah ke tanah.
Mak Ecah menangis bersimpuh di lantai rumah. Tidak berganjak dari tempat terjatuhnya Hanim tadi. Apa nak jadi dengan keluarganya ini. Tak habis-habis menjadi buah mulut orang kampung dengan perangai Hasan dan Hanafi.
Tiba-tiba Hanim keluar dari bilik dengan muka bengang. Meluru dia mendapatkan abah dan abangnya.
Beg duit di tangan diangkat ke sedikit tinggi.
"Siapa ambil duit aku! Duit aku dalam beg ni siapa ambil!" Suara Hanim tinggi beroktaf-oktaf.
"Aku! Pinjam kejap. Nanti aku bayar." Abah tayang muka selamba. Langsung tak rasa bersalah telah mencuri duit anak sendiri.
"Abah! Tu duit aku nak bayar bil! Pulangkan balik!" Kerana terlampau sakit hati, menitis air mata Hanim. Macam-macam perkara dia kena fikir, tapi bukan mahu menyenangkan dia, malah menambah lagi masalah dia.
Gaji dia semalam tinggal berbaki 500 sahaja. Sedangkan dia tak buat apa-apa lagi dengan duit itu.
Argh!
"Aku pinjam 1000 jer pun. Kedekutlah kau ni Nim! Nanti aku pulangkanlah." Abah merengus sambil menunjal kepala Hanim. Meluat dia melihat Hanim yang lemah seperti isterinya. Tak habis-habis menangis! Bukan banyak pun duit yang dia ambil!
"Ya Allah..." menggigil tangan Hanim. Turun naik dada dia menahan emosi. Ikutkan hati mahu dia belasah bapanya itu.
"Sudahlah! Aku dah fed up la! Aku tinggal kat sini lagi sebab mak aje tau! Kalau ikutkan hati aku ni, dah lama aku tinggalkan kau orang semua!"
"Tinggallah kalau nak tinggal! Peduli apa aku!"
Hanim yang menghalang laluan ditolak abah ke tepi.
Tubuh Hanim longlai jatuh ke lantai. Dia dah tak berdaya... dia penat.
Hanafi jeling sekilas mak dan Hanim yang menangis bersama.
“Ini jerlah nasib kau dan mak. Sikit-sikit menangis. Tak ada kerja lain!” Hanafi berdecit perlahan sebelum selamba masuk ke rumah. Tidak peduli dengan keadaan adiknya. Sesungguhnya perkara begini dah sering terjadi. Tak ada apa yang pelik.
"Puas dah hati mak? Mak tak nak berpisah dengan jantan tak guna tu kononnya demi anak-anak. Mak tak nak anak-anak tak bahagia. Tapi mak tengoklah sekarang? Bahagia ke aku ni mak? Bahagia ke anak-anak mak ni berbapakan lelaki tak guna tu?" Rintih Hanim dengan linangan air mata.
Esakkan mak makin kuat. Orang tua itu memeluk erat bahu Hanim dengan rasa bersalah yang sangat menebal. Semuanya kerana dia! Dia yang takut mahu berdikari. Takut sekiranya Hanafi dan Hanim tak dapat kasih sayang seorang ayah. Tapi akhirnya... dia yang buat anak-anak jadi begini.
"Maafkan mak, Nim."