BAB 2 | KITA HANYA KAWAN?

BAB 2 | KITA HANYA KAWAN?

BAB 2

 

 

BERSELERA Ali menjamah nasi kandar. Memang di sinilah mereka berdua suka melepak. Di kedai mamak.

            “Lapar sangat ke?” soal Lana.

            “Laparlah. Balik sekolah tadi aku tak makan. Terus siapkan kerja sekolah.”

            Berdecit lidah Lana.

            “Kalau aku tak makan, bukan main lagi membebel. Diri sendiri, tak sedar pula.”

            “Aku lain. Perut aku ni tak sensitif.” Ali tidak mahu kalah. 

            Lana menjeling geram. Ada-ada saja yang hendak dibalas.

            “Kau tak patut tumbuk mamat tadi.”

            Tak jadi Ali menyuap makanan ke mulut. Teringat perkara yang berlaku tadi, hati yang sejuk bertukar panas. 

            “Kau suka dia sentuh-sentuh kau?”

            “Memang taklah. Tadi aku dah bersedia nak bagi tumbukan padu aku. Tetiba kau muncul. Acah-acah hero Tamil.”

            “Budak tu memang sengaja nak cari pasal. Itulah makan dia.”

            Lana mengeluh lemah. Kalau tadi memang dia gembira. Tapi sekarang, dia sudah mula susah hati. Risau ibu bapa remaja tadi membuat laporan polis. Masak mereka berdua.

            “Kau tak payah risaulah. Budak tu takkan berani nak mengadu dekat sesiapa.”

            “Macam mana kau tahu?”

            Ali tak mejawab. Dia segera menghabiskan makanan dalam pinggannya. Sebenarnya dia sudah tahu rancangan Hairul. Disebabkan kelemahan dia adalah Lana, sengaja Hairul mengganggu tumpuannya ketika bermain bola sepak.

            “Tadi kau menang ke kalah?” 

            “Kau sindir aku?”

            “Eh, tak lah. Aku tanyalah. Kau cakap nak hadiahkan aku kemenangan.” 

            Menjuih bibir Ali. Tengok senyuman di bibir Lana, dia sudah dapat mengagak gadis itu sedang menyindirnya. Dia sendiri tidak tahu keputusan perlawanan tadi. Ketika dia keluar dari dewan futsal, permainan masih berbaki 10 minit.

            “Nah.”

            Terkejut Lana. Ada kotak kecil di atas meja.

            “Hadiah untuk aku?” Tak percaya Lana. Jarang lelaki itu berikan dia hadiah. Kebiasaannya, lelaki itu suka belanja makan.

            “Ambil ajelah. Aku tengok cantik. Jadi aku belilah.”

            Ceria wajah Lana. Rantai yang diberikan oleh Ali itu dipandang tak berkelip.

            “Aku bagi kau rantai tu, supaya kau sedar. Kau tu perempuan. Bukan lelaki.” Kali ini giliran Ali yang menyindir.

            Masam mencuka wajah Lana. Sempat lagi kenakan dia. Kotak hadiah tadi disimpan di dalam beg galas. 

            Selepas mereka berdua makan, Ali membonceng Lana ke rumah. Tak sampai 10 minit mereka tiba di hadapan rumah gadis itu. Lana turun terlebih dahulu dari motorsikal Ali. Topi keledar ditanggalkan. 

            “Terima kasih belanja aku makan.”

            “Ehmmm… jumpa esok.”

            Tak sempat Ali memecut motosikalnya, Encik Hilal keluar dari rumah dalam keadaan wajah yang tegang. Ali sekadar memaniskan wajah.

            “Pak cik.” Ramah dia menegur.

            “Kau pergi mana? Dah maghrib baru balik.” Kasar orang tua itu menyoal Lana.

            Lana julingkan biji mata. Buat-buat ambil berat konon.

            “Kau dengar tak aku tanya?”

            “Lana tak pekak lagi. Kalau dah tahu sekarang ni waktu maghrib, yang ayah ni keluar rumah nak ke mana? Takkan pergi surau pakai seluar pendek.”

            Ali garu kepala yang tidak gatal. Seram sejuk juga dia melihat Lana dan orang tua itu bergaduh. 

            “Kau ni memang suka melawan aku! Kau nak makan penampar aku?”

            Lana tergelak sinis. “Itu ajelah kerja ayah. Balik rumah nak pukul orang. Tak pun, habiskan duit mak.”

            “Kurang ajar!” Encik Hilal sudah mengangkat tinggi tangannya.

            Cepat-cepat Ali turun dari motorsikal dan menarik Lana berdiri di belakangnya. Sungguh dia terkejut melihat situasi tadi.

            “Pak cik, sabar.”

            “Kau jangan masuk campur! Nanti muka kau yang makan penampar aku.”

            “Abang buat apa ni? Tak habis-habis cari masalah.” Kelam-kabut Puan Seha keluar dari rumah. Dari dalam rumah lagi dia sudah mendengar dua beranak itu bertengkar.

            “Anak dengan mak, sama aje. Menyusahkan aku!” Orang tua itu terus berlalu pergi. 

            Puan Seha pandang ke arah kedua remaja itu.

            “Mak cik minta maaf bagi pihak pak cik. Biasalah… angin dia tak baik hari ni.”

            “Angin dia hari-hari macam taufan.”

            “Lana…” tegur Puan Seha.

            Lana tayang wajah mencuka. Tak suka betul dia dengan sikap emak. Masih lagi nak bersabar dengan perangai ayah.

            “Dah lewat ni. Ali baliklah ya. Terima kasih hantar Lana ke rumah.”

            “Baik, mak cik. Saya balik dulu.” Ali tundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat. Sempat dia mengerling ke arah Lana yang masih berwajah tegang.

            Tidak mahu melengahkan masa, Ali memecut laju motosikalnya di rumah. Sepanjang dia menunggang motorsikal, fikirannya teringatkan kehidupan Lana di rumah. Kasihan gadis itu. Pasti tertekan gara-gara menghadap perangai Encik Hilal.

 

 

AWAL pagi lagi Ali sudah sampai di kelas. Dia keluarkan buku pelajarannya terlebih dahulu sebagai persediaan untuk subjek pertama pagi ini. Tiba-tiba rakan baiknya di sebelah, mencuit lengannya.

            “Kau balik awal semalam kenapa?”

            “Aku tak ada mood nak main.”

            Terdengar keluhan kasar dari bibir Dafi. Nampak sangat lelaki itu tidak puas hati dengan jawapannya.

            “Kau bengang sebab mamat tu kacau Lana?”

            Ali hanya membisu. Malas hendak menjawab soalan yang kurang bijak itu.

            “Kau dengan Lana ada apa-apa ke?”              

            “Kau nak cakap apa sebenarnya?” Nada suara Ali sudah berubah tegang.

            Dafi tergelak halus. Tangannya turut bekerja mengeluarkan buku dari beg sekolahnya.

            “Aku dah agak. Kau dah lama suka Lana. Tengoklah semalam. Mamat tu baru aje nak acah-acah mengorat Lana, kau dah gelabah.”

            “Aku rasa kau tak buta semalam. Dah jelas budak tu ganggu Lana sebab aku.”

            “Ya. Sebab kelemahan kau ialah Lana.”

            Terdiam Ali. Dia kehilangan ayat.

            “Kalau kau sukakan Lana pun, kami tak pelik. Sejak dulu lagi korang selalu berdua,” tambah Dafi.

            “Kami hanya kawan. Tak lebih dari tu.”

            “Yalah tu.”

            Ali ingin membalas tetapi mulutnya terkunci rapat apabila guru kelas mereka masuk bersama seorang pelajar baru. Anak matanya turut terpaku melihat gadis tersebut.

            “Assalamualaikum semua.”

            “Waalaikumussalam, cikgu.” Serentak mereka semua menjawab sambil berdiri.

            “Okey, duduk. Hari ni saya ada bawakan rakan baru kamu. Dia baru berpindah ke sini. Awak boleh kenalkan diri.” 

            Gadis itu masih menunduk malu. Dia angkat kepalanya sedikit dan memandang di hadapan.

“Assalammualaikum. Nama saya Adila. Boleh panggil saya Dila.”

             Saat anak Dila memandang ke arah Ali, jantung berdegup laju. Lenyap terus perkara yang dibualnya bersama Dafi sebentar tadi.