BAB 1 | MY SWEETEST PAIN

BAB 1 | MY SWEETEST PAIN

Bab 1

Nama aku Azania binti Fauzi. Azania, bukan Aziana. Ramai juga orang tersilap tulis dan sebut nama aku ni. Padahal bukan panjang pun. Satu perkataan aje. Orang-orang rapat selalu panggil aku Jenny. Aku 26 tahun. Dipertengahan usia 20-an, aku tidak seperti teman-teman seusiaku yang lain. Dari dulu, keputusan peperiksaanku kurang memberangsangkan. Aku dapat tawaran sambung belajar pun untuk kursus yang aku tak minat. Untuk masuk ke kolej swasta yang memerlukan perbelanjaan besar, keluargaku kurang berkemampuan. Dan aku juga tidak mahu menyusahkan sesiapa. 

Oleh sebab aku ada tiga lagi adik, habis STMP aku terus bekerja sambilan di stall makanan. Aku niatkan nak bantu adik-adikku untuk menyambung pengajian. Biarlah mereka yang mendapat peluang itu dan semoga mereka tidak senasib denganku. Adik aku yang pertama lelaki. Sekarang sudah menyambung pengajian di USM, alhamdulillah. Adik yang kedua, Azalea sedang menunggu tawaran UPU. Keputusan SPM dia boleh tahan. Adik yang ketiga pula baru tingkatan empat dan bersekolah di sekolah asrama penuh. Tapi yang aku risaukan, keputusan peperiksaan dia selalu ala kadar aje. Cukup-cukup makan. Nombor dia di dalam kelas juga hampir ke angka 20. 

“Jenny, tak balik lagi ke?” Aku tersentak dengan teguran itu. 

Pandangan Kak Fiza, majikanku membuatkan aku tersipu sendiri. 

“Akhir-akhir ni Kak Fiza tengok Jenny selalu termenung. Ada masalah ke?”

Aku segera menggeleng kepala. “Tak ada masalah. Cuma fikir tentang adik bongsu. Dia macam tak ada semangat nak belajar...” 

Kak Fiza mengangguk kecil. “Ingatkan masalah apa. Biasalah tu lelaki, memang tak sama dengan perempuan. Agaknya dia minat benda lain kot...” 

“Betul...” Aku mengiyakan. 

“Pergilah balik. Akak pun nak balik dah ni.” Kak Fiza meletakkan dua bungkus bekas makanan di atas kaunter, betul-betul di hadapanku. 

“Yang ni pesanan Wan. Yang ni pula Jenny bawalah balik rumah. Makan kat rumah.” 

“Terima kasih kak... susah-susah aje...” Aku berterima kasih. Selalu sangat Kak Fiza beri lauk lebihan nasi campur pelanggan untuk aku. Mungkin sebab dia tahu kami sekeluarga agak berjimat cermat, jarang berlaukkan ayam, jadi dia sedekahkan aje daripada dibuang. 

“Susah apanya? Akak minta tolong Jenny hantarkan makanan si Wan ni pun dah kira delivery. Tapi akak tak bayar kat Jenny pun. Setakat lauk lebihan customer, takkan akak nak berkira pula?” Kak Fiza senyum. 

Aku tersengih kecil. Selalunya begitulah. Wan Furqan tinggal tidak jauh dari rumahku, kiranya jiranku juga. Dia juga kawan aku sejak zaman sekolah menengah. Selalunya dia akan pesan makanan melalui aku dan aku akan hantar pada Wan sewaktu dalam perjalanan balik dari bekerja. Kalau tak delivery ke rumah dia, aku akan hantar ke pejabat. Pasaraya tempat dia bekerja tidak jauh dari bangunan shopping mall stall Kak Fiza. Berdepan aje. Wan manager kut. Dia tak pernah cerita skop kerja dia kat aku tapi aku boleh agak jawatan Wan bukan bawah-bawah. Dia mula bekerja di sana dua tahun yang lepas sebaik saja tamat belajar dari USM. 

Aku tak pasti kenapa dia masih tinggal di sini sebab lima tahun lepas keluarga dia berpindah ke Johor. Keluarga dia ada bisnes sendiri. Aku pelik juga kenapa dia tak tolong bisnes ayah dia. Lagi pun Wan graduan perniagaan. Tapi Wan tak pernah nak cerita kat aku kenapa dia pilih kerja dengan orang lain berbanding dengan keluarga sendiri. Dan aku pun tak pernah tanya lebih-lebih sebab aku rasa benda ni terlalu peribadi. 

Tentang Wan, walau tak berbaloi untuk diceritakan, tapi aku mengaku yang aku dah lama simpan perasaan pada dia. Cuma kerana perasaan aku ni seperti bertepuk sebelah tangan, aku nak mengaku pun rasa sedih aje. Bukan aku tak pernah confess, tapi Wan tolak mentah-mentah macam tu aje. Kalau orang lain kena reject, haram nak berkawan dengan orang yang dah reject kita. Tapi aku ni tak mampu nak elak dari Wan. Awal-awal dulu memang aku cuba larikan diri sebab malu dengan dia. Tapi sikap dia terlalu selamba seperti tak pernah berlaku kejadian bodoh tu. Lambat laun kami rapat dengan cara yang paling bersahaja. Tanpa aku berusaha dan tanpa dia berusaha. Dari sekolah menengah, dia masuk ke universiti dan ke alam pekerjaan. 

Longlai kaki nak melangkah ke motor yang sengaja ku parkir di bawah pokok. 

Aku letak bungkusan makanan dalam bakul motor. Helmet yang dari tadi kubawa, aku pakai lambat-lambat. Termenung lagi apabila teringat tentang Wan Furqan. 

Entahlah. Aku pun aneh kenapa aku boleh jatuh cinta pada teman sendiri. Sejak zaman sekolah dia memang caring dekat aku. Tapi aku tahu keprihatinan dia terhadap aku tak lebih dari seorang kawan. Buktinya kekasih dia silih ganti bertukar walau kami memang akrab. Bermakna dia langsung tak rasa apa-apa pada aku. Kalau dia kisah dengan perasaanku, rasanya dia tak tayangkan pada aku perempuan-perempuan yang berminat nak berkawan dengannya. Dia takkan tunjuk teman wanita dia dekat aku. Entah-entah dia dah lupa yang aku pernah sukakan dia. Aku aje yang anggap dia lebih dari kawan biasa. Sedih betul...

Sampai di depan rumah dia, aku telefon nombor Wan. 

Hello...” Mendengar suara Wan, aku menghela nafas. Nampak sangat dia baru bangun tidur. 

“Aku ni, Azania.”

“Aku tahu kau Jenny.” Serak betul suara dia menjawab. 

“Aku kat depan rumah kau. Makanan dah sampai.” 

Tanpa balasan, dia mematikan panggilanku. Dalam dua minit kemudian Wan keluar rumah dengan seluar paras lutut dan t-shirt hitam tersarung pada tubuh. Pakaian dia biasa aje. Tapi sebab pemakainya ialah Wan Furqan, pakaian tu dah jadi macam luar biasa. Dia seperti model pakaian berjenama sedang catwalk walhal baru bangun tidur. Bukan aku seorang yang sedar kelebihan yang ada pada Wan Furqan itu. Malah disebabkan aku rapat dengan dia, ramai perempuan yang mahu mendekatinya melalui aku. Cuma aku tak ambil pusing sangat. Wan pernah beritahu yang dia tak tahu kategori kacak tu bagaimana. Dia bukan nak kisah sangat dengan pandangan orang lain terhadap dirinya. Sebab itu juga kebanyakan waktu Wan malas menjaga penampilan, agak selekeh dan sempoi. Tapi selekeh dia tu, masih lagi kelihatan tampan. Kalau aku pakai baju selekeh, nanti orang ingat aku ni peminta sedekah pula. 

“Masuklah!” Dia melaung sambil duduk di pondok kayu berhadapan rumah. 

Nampak benar beza rumah kami berdua. Rumah dia ada pondok, ada mini fountain, kolam ikan... Rumah aku pula rumah mampu milik yang catnya pun dah pudar. Memang jauh sangat perbezaan darjat kami berdua. Aku pelik kenapa dia nak berkawan dengan aku yang miskin ni. Agaknya sebab dia perlukan aku jadi ‘pembantu’ dia ke? Sejak zaman sekolah dia selalu minta tolong aku belikan makanan di kantin. Sampai sekarang ni tugas aku juga yang hantarkan dia makanan. Setiap hujung minggu, dia akan upah aku bersihkan rumah dia. 

Aku rasa, aku kena sedar diri. Aku dan dia tak sekufu. Agaknya dah tiba masa aku jarakkan hubungan kami berdua agar aku tak terus hanyut dibawa perasaan Cinderella ni. 

Aku tinggalkan motor di halaman rumahnya. Aku letak bungkusan plastik di depan Wan Furqan. Dia tak berkedip memandang ke arahku. 

“Aku nak cepat balik,” ucapku. 

“Temanlah aku makan. Aku tak selera makan sorang-sorang.” 

Aku menggeleng kepala. “Aku tak selesa ni Wan. Badan pun dah melekat. Nak balik rumah nak mandi,” jelasku. 

“Duduklah kejap. Kau busuk mana pun aku tak kisah. Kalau kau tak ada, aku malas nak makan. Sembanglah dengan aku sekejap.” Wan pandang ke arahku minta simpati. 

Ini yang aku lemah. “Kalau tak makan, bak sini... Aku nak makan.” Sengaja aku mencapai semula bungkusan makanan itu. 

“Eh, aku tengah lapar ni.” Spontan dia menahan lenganku. Aku yang terkejut dia pegang lengan walau setakat pegang kain aje, terus menepis tangan dia. 

Sorry... sorry...” Wan menjauhkan tangannya dariku. 

“Aku pergi dulu,” ucapku mengatur langkah. 

“Jenny, please...” Suara Wan meleret. 

Aku hela nafas dalam diam bila dengar dia sebut nama aku sampai 6 harakat. 

Nak tak nak aje aku ambil tempat duduk di hadapan dia. “Kalau sunyi sangat, kau pindahlah dengan family kau.” 

Wan pandang aku sekilas dengan tangan yang sibuk membuka bungkusan makanan. 

“Kalau aku pindah, nanti kau pula yang sunyi. Tak ada kawan...” Dia sengih.

Aku terdiam. Memang pun aku sunyi. Aku harap dia tak pindah-pindah dari sini. Aku sengaja nak menduga dia. Manalah tahu dia ada hajat nak berpindah. Dengar jawapan dia tadi, aku jadi lega. 

“Kau dah makan ke?” Soal Wan sambil mengelap sudu plastik dengan tisu. 

“Nanti aku makan kat rumah. Tak lapar lagi,” balasku bersahaja. 

Dia baca doa makan kemudian menyuap makanan ke dalam mulut. 

“Jen... Ada seorang perempuan ni nak berkenalan dengan aku.” 

Ah, dia dah mula dah. Aku buang pandang ke arah kolam yang tak jauh dari kami. Dah banyak tahun kami berkawan. Kata-kata yang paling aku tak nak dengar dari Wan, ada perempuan nak berkenalan dengan dia. Setiap kali dengar, setiap kali itu perasaanku terkilan. Walau aku tahu kadang Wan tak serius berkawan dengan perempuan, tetap juga jiwaku terasa kelat. 

“Tengoklah, Jen... Okey tak?” Wan hulur telefon pintarnya ke arahku. 

Aku sambut dengan perasaan yang berbelah bahagi. Kenapalah ramai orang yang nak berkenalan dengan dia? 

Wan jarang tunjuk perempuan yang kacau dia kecuali apabila dia tertarik dengan perempuan tu. Baru tiga bulan dia single. Sekarang dah ada calon lain pula. Aku juga yang tak pernah bercinta sejak dalam perut mak...

Melihat gambar instagram milik wanita bernama ‘Nurul Syuhada’ itu, aku hanya mampu menelan rasa kecewa. 

“Kali ni kau serius ke?” Tanyaku. 

“Aku tak pernah main-main cinta dengan perempuan.” 

“Tapi selalunya empat lima bulan, kau putus lagi. Kalau kau tak serius, tak perlulah berkawan. Ramai perempuan patah hati disebabkan kau. Ni cantik macam ni, kalau kau putuskan juga, memang ada something wrong somewhere.” Aku masih membelek gambar-gambar di instagram wanita itu. Lawa orangnya. 

“Bercinta ni untuk kenal-kenal dulu, kalau tak sesuai putuslah...” Dia jawab acuh tak acuh. 

Aku letak telefon di sisi Wan. Muka dia aku pandang dengan renungan redup. Entah bila dia nak pandang aku lebih dari seorang kawan. Aku ni bagai pungguk rindukan rembulan. Bukan aku tak pernah luah perasaan pada dia. 

“Kau ni memilih juga eh?”

“Tak adalah. Aku okey aje berkawan dengan sesiapa. Janji dia ikhlas dengan aku...” Wan membalas pandanganku. 

“Aku perasan kau selalu cakap macam tu tapi perempuan yang kau pilih tak pernah kurang apa-apa. Cantik, berpelajaran, berharta, berdikari, ada kerjaya... Tengok macam Nurul Syuhada ni. Manis, tinggi, bergaya, kerja pun boleh tahan...”

Jauh betul nak dibandingkan dengan aku. Padanlah Wan reject aku masa sekolah menengah. Aku ni jauh dari ciri-ciri wanita idaman dia. Tak payah cakap pasal harta dan muka, pendidikan aku sampai SPM aje. Semakin aku fikir, semakin tu self esteem aku jadi rendah. 

Wan tersengih. “Itu pakej aje. Mana aku tahu dia ada semua tu. Masa kenal hari tu, dia tak cakap pun dia ada semua yang kau sebut.”

Aku termangu. Kadang-kadang aku rasa Wan Furqan sengaja mencipta ‘border line’ antara aku dan dia. Jelas betul yang dia memang tak pandang perempuan seperti aku. Aku ni sepatutnya move on aje, jangan memperbodoh diri sendiri dengan hal yang tak pasti. 

“Jenny, kau tak pernah lagi kan berkawan dengan sesiapa?” Soal Wan tiba-tiba. 

Aku menggeleng jujur. “Aku sibuk nak support family. Aku tak macam kau,” ucapku perlahan. 

“Alasana je tu. Kau nak aku kenalkan dengan member aku ke?” 

Aku tersentap. 

Kenapa dia nak kenalkan aku dengan kawan dia? Ke dia pandang rendah kat aku sebab aku tak laku-laku sampai sekarang?

“Siapa?” Aku balas tenang walau hati aku sedang kucar-kacir. Semakin lama semakin aku yakin Wan tak ada perasaan langsung padaku. 

Wan mengerut keningnya seolah-olah berfikir. Tak lama lepas tu dia ukir senyuman dan mencapai telefon pintar. Dia taip sesuatu dan kemudian dia tunjuk pada aku.

“Dia ni baik.”

Telefon itu beralih tangan. Aku pandang gambar yang ditunjukkan oleh Wan tanpa hati. Entahlah. Aku tak tahu nak komen apa bila melihat pemuda yang Wan tunjuk pada aku. 

“Tak lah kacak sangat tapi jenis yang jujur. Aku kenal dia dalam setahun kerja kat pasaraya aku, dia memang jenis yang hard working,” ucap Wan bersungguh-sungguh. 

Aku kembalikan telefon itu kepada dia. 

“Bagilah nombor dia kat aku.” Aku balas tanpa emosi. 

Wan nampak sedikit terkejut. 

“Serius ke ni?”

Aku mengangguk. Agaknya memang dia nak aku berkawan dengan lelaki lain atas sebab-sebab peribadi. Mungkin juga dia rasa terbeban berkawan dengan aku kerana status single aku. 

“Kau nak bila? Sekarang?” Sudu di tangan Wan jatuh ke bekas makanan. Dia segera menaip sesuatu pada telefon pintar. 

Aku biarkan saja. Apabila mendengar telefon pintarku berbunyi, aku tahu itu mesej dari Wan. Betul-betul dia hantar nombor telefon pemuda itu padaku. 

Aku hela nafas dalam. Entahlah. Tiba-tiba hatiku rasa berapi. Kalau dia nak sangat aku berkawan dengan lelaki lain, aku penuhi hajat dia. Sedikit sebanyak hatiku terguris. Wanita yang dia kenal lawa dan bergaya. Tapi aku... Terbayang gambar pemuda tadi, aku tidak mampu menepis perasaan buruk sangka. Pemuda itu mengenakan seragam staf pasaraya bermakna kemungkinan besar berpangkat sebagai cashier atau pekerja buruh di sana. Kulitnya agak gelap sedikit. Entahlah... Aku tak pasti apa motif Wan yang sebenar. Tapi perasaan ni aku kena telan sendiri. Memang sepadanlah lelaki itu denganku. Takkan aku nak dia kenalkan dengan bos-bos yang berpangkat tinggi pula?

“Wan, aku balik dulu. Kau pun dah nak habis makan. Aku kena masak lagi kat rumah.” Aku angkat punggung. Malas mahu berlama-lamaan di sini kerana bimbang jiwaku semakin kecewa. 

Weekend ni kau free tak? Ikut aku joging nak?”

Aku menggeleng. “Kau ajaklah Syuhada. Buat apa nak ajak aku?” 

“Aik? Marah ke?” Wan ikut langkah aku apabila aku mula melangkah menuju ke motor. 

“Aku tak marahlah. Aku penat, nak balik cepat.” Aku tarik senyuman segaris pada dia agar dia tak mampu membaca perasaanku. 

“Kalau macam tu, pagi sabtu aku tunggu kau kat sini eh?” Dia berhenti betul-betul di depan pagar rumahnya.

Aku tidak membalas. Tawar betul hati aku sekarang ni. “Nanti aku nak whatsAppmember kau. Mungkin aku nak ajak dia keluar jalan-jalan hujung minggu ni. Kau ajaklah Syuhada.” Aku sengaja bagi alasan. Aku rasa alasan tu aje yang mampu membuatkan Wan Furqan tidak memaksaku bertemu dengannya di hujung minggu.

Wajah Wan keruh sedikit. Senyuman di bibirnya mula kendur. “Kalau kau ada pakwe nanti, jangan abaikan aku tau, Jen?” 

Aku tergelak. “Kau ni biar logik sikit boleh tak? Umur dah berapa takut kena abaikan?” Aku hidupkan enjin motor. 

“Dah lah. Aku balik dulu.”

“Jen... esok macam biasa. Tengah hari hantar makanan kat aku.”

“Kau ambillah sendiri, asyik aku aje yang hantar untuk kau. Kau ingat aku ni orang gaji ke?” Marahku. 

“Aku bayarlah upah kau COD tu. Aku malas nak jalan kaki.” 

Sabar ajelah, Azania... Entah macam mana kau boleh tersuka dengan dia. Selain muka dia yang kacak, satu sen pun tak boleh pakai. Nak kata gentleman kirim salam ke laut dalam aje. 

Yelah...”

Tiba-tiba dia senyum padaku. “Jen, kalau hujung minggu ni aku bayar kau untuk keluar joging, kau nak tak?” 

Aku jeling Wan tajam. Aku serius benci dengan ayat tu. Aku tahulah aku miskin, tapi janganlah bubuh garam kat hati aku pula. 

Sorry, aku tak nak. Aku dah bosan tengok muka kau.” 

Tanpa menunggu kata-kata Wan, aku terus membawa motor menuju ke simpang rumahku. Aku dengar Wan panggil-panggil namaku tapi aku malas dah nak pusing balik untuk dengar kata-kata dia. 

Sampai ke rumah, aku bunyi whatsApp berdentang denting. 

Aku buka dan baca pesanan Wan di skrin telefon. 

‘Janganlah merajuk...’

‘Aku minta maaf terlepas cakap tadi...’ 

‘Esok aku belanja kau makan, k...’

Aku julingkan mata ke atas. Aku hantar sticker monyet tengah tidur pada Wan.

Sekali lagi pesanan ringkas Wan masuk.

‘Jenny, kaulah satu-satunya sahabat aku... teman aku... Aku tak boleh hidup tanpa kau. Kalau tak dengar suara kau sehari, aku tak tentu arah. Jangan marah lama-lama tau... I’m sorry Jen...’ 

Ada juga kesedaran diri nak minta maaf. Mujur ada. Kalau tak ada memang dialah lelaki paling tak berguna yang hidup di atas muka bumi ni. 

Aku hantar sticker menguap pula. 

Dan sebagai balasan, dia hantar stikcer emoji mata berair. Tidak semena-mena senyuman kecil terukir di bibirku.