BAB 1 | KITA HANYA KAWAN?

BAB 1 | KITA HANYA KAWAN?

BAB 1

PERUT yang terasa lapar ditepuk sedikit. Gara-gara bergaduh dengan ayahnya pagi tadi, dia lekas keluar dari rumah tanpa sempat mengambil bekalan makanan. Sudah menjadi kebiasaan Lana hanya membawa bekal makanan saja ke sekolah.

Disebabkan tidak mahu menyusahkan emak, dia jarang meminta wang belanja sekolah. Ada lagi perkara yang lebih penting untuk digunakan dengan wang tersebut.

Keluhan terlepas dari bibirnya. Sejak akhir-akhir ini sikap ayah semakin melampau. Setiap kali emak mendapat upah bekerja di kedai makan, pasti ayah yang mengambil kesemua wang tersebut. Kesian emak. Adakalanya emak terpaksa menyorok wang tersebut demi memastikan perbelanjaan di rumah ada.

Kruk…

“Hishh… perut ni pun asyik berbunyi aje. Sabarlah. Lagi beberapa jam kita balik rumah. Nanti aku sumbat makanan sampai kau kenyang,” bebel Lana perlahan.

Dia pandang ke sekeliling kawasan padang sekolah. Ada beberapa pelajar sedang duduk berbual di sini. Sekarang waktu rehat.

“Lana!”

Lana toleh ke sebelah. Dari jauh dia sudah nampak Ali sedang berlari anak ke arahnya. Selamba saja lelaki itu duduk di sebelahnya.

“Kenapa tak makan?”

“Saja.” Terjerit Lana. Tiba-tiba saja pipinya dicubit kuat.

“Aku cakap serius ni. Kenapa tak makan?”

“Aku tak bawa bekallah.”

“Aku dah agak. Kau ni memang cuai. Kenapa tak cari aku aje? Aku boleh belanja kau makan.”

Lana menggeleng laju. Tak nak dia menyusahkan Ali. Mereka berdua memang rapat. Sampai pernah berkongsi makanan dalam satu pinggan yang sama. Tapi di sekolah, memang taklah mereka berdua nak buat begitu.

“Jom ikut aku.”

“Tak naklah. 10 minit lagi loceng nak bunyi.” Lana enggan menurut.

“Sempatnya. Jom!” tegas Ali sambil menarik tangan Lana. Lana yang tak sempat mengelak, terpaksalah mengikut langkah lelaki itu menuju ke kantin.

Di kantin, Ali segera membeli dua pinggan nasi lemak bersama dua gelas air sirap. Dulang makanan diletakkan di hadapannya.

“Cepat makan,” gesa Ali.

Lana perasan ada beberapa pasang mata sedang melihat ke arahnya. Di sekolah, Ali sering menjadi tumpuan pelajar perempuan. Mungkin disebabkan Ali berwajah kacak.

“Termenung pula. Cepatlah.”

Tersengih-sengih Lana. Cepat-cepat dia capai sudu dan menyuap nasi lemak ke mulut. Sedap. Mungkin disebabkan lapar, tak sampai lima minit, habis makanan di pinggannya.

Tercengang Ali. Mulutnya ternganga sedikit. Nampak aje badan Lana kecil tapi nafsu makan, boleh tahan.

“Kau nak makan tak nasi tu?” soal Lana.

“Ha?”

“Aku tengok macam tak luak aje. Tak baik membazir. Kalau tak habis, meh sini aku habiskan.”

Pinggan Ali ditarik ke arahnya. Selamba saja dia menjamah makanan tersebut di hadapan Ali.

Terkebil-kebil mata lelaki itu. Dia menyedut air minumannya terlebih dahulu.

“Kau makan tak semalam?”

“Tak.”

Menggeleng Ali. Dia sudah agak. Patutlah semasa di perhimpunan tadi, dia nampak wajah gadis itu kelihatan lemah. Nak tegur, mereka duduk dalam jarak yang jauh. Lagipun mereka berdua dalam kelas yang berbeza.

Disebabkan Lana mahu menyambung ke tingkatan enam, Ali turut mengikut jejak langkah gadis itu. Mereka berdua sudah berjanji mahu belajar bersama-sama di IPTA selepas tamat STPM.

“Kenapa kau tak makan?”

“Kau ni banyak tanyalah. Aku mengantuk semalam. Tidur awal,” bohong Lana. Takkanlah dia nak beritahu ayah mengamuk sampai sepahkan makanan yang dimasak oleh emak. Biarlah aib keluarga dia simpan.

“Tidur awal? Macam tak percaya aje kau tidur awal.” Mengecil anak mata Ali.

“Tak percaya sudah.” Lana jelirkan lidah. Segera dia habiskan air minumannya. Hanya beberapa minit lagi loceng akan berbunyi.

“Petang ni kau teman aku.”

“Nak pergi mana pula?” Berkerut dahi Lana.

“Futsal.” Ternaik-naik kening Ali.

“Tak naklah jadi pom pom girl kau. Bosan. Lebih baik aku tidur.” Serik dia temankan Ali ke dewan futsal. Hampir dua jam dia terpaksa duduk di tepi untuk melihat lelaki itu bermain futsal.

“Ala… temankan aku. Aku janji, lepas habis game, aku belanja kau makan sedap.”

Mencebik bibir Lana.

“Bosanlah. Kalau aku tak ada pun, tak ada bezanya. Kau boleh aje main.”

“Sebab game ni penting bagi aku. Hari ni kami nak lawan dengan Sekolah Damak. Dari dulu lagi aku tak berkenan dengan bebudak tu. Suka sangat perlekehkan budak sekolah kita.”

“Habis tu, motif kau nak aku ada dekat sana untuk apa?”

Ali tayang senyuman lebar.

“Aku nak hadiahkan kemenangan ni untuk kau. Sempena hari jadi kau esok.”

“Ha?” Terkedu Lana.

Tiba-tiba loceng sekolah berbunyi. Ali terlebih dahulu berdiri dan mengambil pinggan dan cawan mereka.

“Kau masuk kelas dulu. Petang ni aku jemput kau tempat biasa lepas asar. Jumpa petang ni.”

Ali kenyitkan mata sebelum meninggalkan Lana. Lana masih terpaku di tempat duduknya. Jantungnya berdegup laju. Pipinya terasa merah menyala.

Kenapalah Ali selalu menguji perasaannya sejak akhir-akhir ini?

 

 

SUDAH beberapa kali dia menguap gara-gara bosan. Hampir sejam juga dia menjadi penunggu setia di tepi dewan. Dari jauh dia ternampak kelibat Ali sudah berpeluh mengejar bola.

“Siapalah cipta permainan bola sepak ni? Bola pun nak berebut.”

Lana sudah mula membebel. Telefon bimbit Ali dikeluarkan dari beg galas lelaki itu. Dengan dia, Ali tak pernah kisah jika dia menggunakan telefon bimbit itu.

“Hishh… tak ada game ke? Takkan dia dah buang semua game dalam telefon ni. Sejak bila pula Ali ni jadi budak baik?”

Mengeluh Lana. Menyesal pula dia mengikut Ali ke sini. Jam di tangan, dikerling sekilas. Hampir jam enam petang. Kata Ali, perlawanan akan tamat jam 6.15 petang. Nak tak nak, terpaksalah dia bersabar.

“Hai.”

Terkejut Lana. Tiba-tiba ada dua orang remaja lelaki duduk agak rapat di sebelah kiri dan kanannya. Tak selesa Lana.

“Banyak lagi tempat duduk yang kosong. Pergilah duduk dekat tempat lain.”

“Kami nak duduk sini. Ada pemandangan yang cantik dekat sini.”

Serentak kedua remaja lelaki itu ketawa. Panas hati Lana. Orang serius, main-main pula.

“Awak berdua ni dah tak ada taste sangat ke? Dengan pengkid pun nak mengorat.” Sengaja Lana bercakap begitu. Dengan gaya rambutnya yang pendek, sudah pasti ramai yang menyangka dirinya seperti lelaki.

“Wah, dia melawanlah. Ini yang kami lagi suka.” Lelaki yang duduk di sebelah kirinya, sudah berani memegang bahu Lana. Lana terus berdiri tegak.

“Eh, kenapa berdiri? Sinilah kita berbual dulu.”

“Korang berdua ni memang sengaja nak cari pasal kan? Jangan sampai tapak kasut saiz 6 ni melekat dekat muka korang.”

Makin kuat kedua lelaki itu ketawa. Tiba-tiba lelaki yang berani menyentuhnya tadi, turut berdiri tegak di hadapannya.

“Saya Hairul.”

“Tak tanya pun.”

“Janganlah sombong sangat. Kami nak berkawan aje.”

“Saya tak nak.” Malas melayan dua lelaki itu, lebih baik dia duduk di tempat lain. Tak sempat dia melangkah pergi, lengannya ditarik oleh Hairul. Makin menyirap darah Lana.

Tangan kirinya dikepal kuat. Dia sudah bersedia untuk menumbuk muka Hairul. Tapi…

Buk!

Tercengang Lana. Tubuh Hairul sudah terlentang di atas lantai. Suasana tiba-tiba menjadi kecoh.

“Kau!” Hairul menjerit kesakitan. Hidungnya sudah berdarah.

Lana toleh ke sebelah. Wajah Ali jelas kelihatan tegang.

“Sekali lagi aku nampak kau berani sentuh dia, bukan setakat hidung kau yang patah. Tangan kau pun aku patahkan.”

Tertelan air liur Lana. Mengamuk betul Ali.

“Kita balik!”

Ali segera menarik tangan Lana. Dia sudah tiada hati untuk meneruskan permainan ini lagi.

Lana yang masih bingung, hanya menurut langkah lelaki itu keluar dari dewan tersebut.

Terfikirkan perkara yang berlaku tadi, Lana tersenyum kecil. Terasa seperti ada rama-rama yang terbang dalam perutnya sekarang.