BAB 4 | MY BEST FRIEND'S BROTHER

BAB 4 | MY BEST FRIEND'S BROTHER

Bab 4

 

"NIM, customer last nak Nasi Goreng USA. Lepas ni, bolehlah kemas-kemas ya."

Hanim yang baru saja melabuhkan punggung di kerusi, pantas bangun. Tersenyum pada Kak Lina dan segera menghidupkan api dapur gas.

"Okey kak." Sudip diketuk pada kuali yang telah panas dan dalam masa kurang 10 minit, makanan siap dimasak.

"Dah siap."

"Tolong hantar ke depan, Nim. Akak nak mop bawah meja kejap. Ada air tumpah."

Hanim angguk lagi. Akur dengan arahan bosnya. Apatah lagi hari ini hanya ada dia, Kak Lina dan suami Kak Lina saja. Dua pekerja lagi sedang bercuti. Abang Majid jaga kaunter, dia tukang masak manakala Kak Lina pula tukang ambil dan hantar pesanan.

Hanim keluar dari dapur sambil menatang dulang yang berisi Nasi Goreng USA dan kopi O ais.

Ruang makan restoran itu sudah lengang. Hanya ada dua meja saja yang berpenghuni. Hanim melangkah mendapatkan seorang pelanggan lelaki yang duduk di hujung kedai. Dekat dengan tempat parkir kereta.

"Nasi Goreng USA dan kopi, encik."

Si lelaki yang sedang ralit bermain game di telefon bimbit itu sekadar panggung kepala bila Hanim meletakkan pinggan nasi dan segelas air di depannya.

"Terima kasih."

"Sama-sama,"  sahut Hanim lembut. Sejuk hati bila ada pelanggan beradab macam ni.

Dia sambung buat kerja di belakang. Mengemas segala peralatan di dapur memandangkan restoran pun menunggu pelanggan terakhir untuk membuat bayaran.

Selesai kerja, Hanim pamit untuk pulang terlebih dahulu pada Kak Lina. Ruang parkir motor segera dituju.

"Aduh, buat hal lagi dia ni!" Hanim membebel. Helmet di kepala kembali dicabut dan dihentak ke bakul motosikalnya.

"Kenapa? Minyak habis lagi ke?"

Eh! Berpusing leher Hanim mencari arah suara yang menegur itu.

"Hai!" Si lelaki yang berada di sebelah kanan dia melambai dengan senyuman lebar.

Lebar senyuman di bibir itu sehingga muncul dua lekuk di kedua-dua belah pipi.

Dahi Hanim berkerut. Mata mengecil mahu mengecam lelaki yang kini berada di depannya ini. Macam kenal. Tapi keadaan malap di situ mengehadkan penglihatannya. Dia kurang jelas dengan raut wajah itu.

"Lupa ya?" Faris tayang sengih. Tubuh yang bersandar di sisi kereta, dilonjak ke depan. Melangkah dengan santai mendekati si gadis.

Dari tadi lagi dia menunggu Hanim setelah gadis itu menghantar pesanan makanannya. Dialah pelanggan terakhir di tempat Hanim bekerja tadi.

Tubuh Hanim kaku sesaat. Gaya berjalan santai si lelaki mengingatkan dia kepada seseorang. Pantas iris matanya beralih melihat gaya rambut si lelaki. Sama. Berbentuk M tidak bergel.

"Eh... Awak mamat rumah besar tu kan?"

Langkah kaki Faris terhenti. Terpinga-pinga seketika. "Rumah besar?"

"4 tahun lepas, saya dengan abang saya pernah datang rumah awak. Ingat tak? Roadblock? Tak ada lesen?" Kening Hanim ternaik sedikit. Cuba memberi hint.

Tapi dia pelik. Kalau lelaki ni tak ingat dia, kenapa lelaki ni tegur dia macam dah kenal?

"Laaa... Tu awak!" Faris yang tercengang terus tersenyum. Baru dia ingat yang dia pernah berjumpa dengan Hanim dan Hanafi.

Malah dua beradik itu siap duduk melepak di rumah dia selama 2 jam gara-gara ada sekatan polis.

"Selain tu, kita pernah jumpa ke?" Hanim bertanya setelah melihat reaksi Faris.

Sah mamat ni tak ingat hal 4 tahun lepas tu. Waktu itu dia berusia 16 tahun. Hanafi pula 18 tahun. Dua-dua reti bawa motor tetapi mereka tak ada duit nak ambil lesen.

"Tak ingat? Depan TNB. Motor habis minyak?" Kali ini kening Faris pula ternaik, memberi hint kepada Hanim.

Hanim tergelak. Ya Allah... Takdir sungguh!

"Waktu tu awak pakai helmet. Mana saya tahu muka awak macam mana."

Faris turut tertawa kecil. Dia lupa.

"So, kali ni kenapa pula motor awak?" Soal Faris.

Senyuman Hanim berubah kelat.

"Entahlah." Keluh dia perlahan. Dikerling motor tua itu. Macam-macam masalah! Tapi dia yakin yang minyak masih ada kerana dia baru saja isi minyak sebelum ke sini.

"Meh saya tengok."

Hanim berganjak ke tepi bagi memberi laluan untuk Faris melihat keadaan motornya.

"Saya rasa sebab hujanlah. Air masuk kat dalam ni." Faris duduk mencangkung melihat keadaan dalam rangka motor. Ada nampak kesan basah di situ.

Hanim gigit bibir. Resah mendengar kondisi motornya.

"Kena tunggu kering komponen dalam, baru boleh start enjin semula. Ambil masa juga ni." Faris tongkat semula motor Hanim setelah tidak berjaya dihidupkan untuk kesekian kalinya.

"Rumah awak jauh ke?" Faris memanggung kepala merenung Hanim yang sudah serba tak kena.

"Dalam 15 minit."

Jeda.

"Hmmm... Dah pukul 12 malam. Bos awak pun dah balik. Awak tinggalkan motor di sini. Saya hantar awak balik rumah." Usul Faris.

Dahi Hanim makin berkerut keresahan. Dia kalau boleh, tak nak menyusahkan lelaki ini.

Dan dalam masa yang sama, menyesal dia parkir motor di situ. Sudahnya Kak Lina dan Abang Majid tak nampak yang dia masih tersadai di depan restoran kerana majikannya itu parkir di belakang kedai.

"Meh la saya hantar. Sorry tak dapat nak tolak macam hari tu. Saya bawa kereta hari ni. Tadi hujan lebat." Faris tayang sengih.

Hanim kerling sekilas kereta di belakang Faris. Dah macam kereta racing. Dia rasa Faris memang berjiwa racer la. Hari tu motor pun jenis superbike. Ni Honda type R yang dah diubah suai seperti kereta lumba pula.

"Jomlah. Mesti awak penat." Faris buka pintu sebelah penumpang.

Nak tak nak, terpaksalah Hanim tinggalkan motor cabuk dia di depan restoran. Sempat dia memasang rantai pada tayar motor dulu agar tidak dicuri.

"Rumah awak dekat mana?"

"Taman Indah Jaya."

"Oh, saya tahu."

Hanim senyum nipis. Tegak saja badan dia saat duduk di dalam kereta Faris. Rasa janggal. Dah tiga kali dia menerima bantuan lelaki ini, padahal bukan dia kenal sangat pun Faris.

Rasa sejuk aircond buat Hanim terbersin. Tadi baju dia sedikit basah dek terkena hujan ketika membuang sampah. Hujan berhenti pun 5 minit sebelum dia balik kerja.

"Sejuk eh? Sorry. Ni paling rendah dah."

"Eh, tak apa." Laju Hanim menyahut. Tapi awal lagi Faris mencapai jaket kain denim yang tergantung di kepala tempat duduk Hanim.

"Pakai ni. Kurang sikit sejuk tu." Faris hulur jaket tanpa memandang Hanim di sebelah.

Lambat-lambat Hanim ambil jaket yang dihulur dan hanya ala kadar saja jaket itu dibalut ke tubuh.

Mata Hanim terpejam seketika tatkala bau minyak wangi Faris menyusuk ke deria bau. Bau yang sama pernah dia hidu dulu.

Nyaman dari penyaman udara dan cara pemanduan Faris yang cermat, menambah rasa kantuk yang bergayut di mata. Lagi-lagi hidungnya menghidu sesuatu yang wangi.

Hanim sikit lagi hampir terlena kalau Faris tak bersuara dengan tiba-tiba.

"Nanti masuk lorong mana?"

Tersentak Hanim. Cepat dia menegakkan tubuh dan melihat keadaan luar. Dah nak sampai rumah rupanya. Tak sedar dah 15 minit dia di dalam kereta ini.

"Belok kanan."

Kereta membelok mengikut arah yang dikatakan.

"Kat sini aje la."

"Rumah awak yang mana?" Faris pandang sekeliling. Jalan gelap-gelita. Rumah kiri kanan pun dah bergelap.

"Rumah saya kena masuk lorong ni. Tapi kalau kereta awak masuk, nanti kotor pula. Jalan berlopak. Baru lepas hujan ni."

"Tak apa. Saya hantar sampai depan rumah. Bahaya gelap-gelap ni."

Hanim garu kepala. Menyeringai dengan muka serba salah.

Faris tersenyum melihat reaksi Hanim.

"Kalau kotor boleh basuhlah." Laju saja Faris turunkan handbrake dan kembali menggerakkan kereta.

Perlahan-lahan kereta dia menelusuri lorong kecil ke rumah Hanim. Banyak rumah papan yang dibina rapat-rapat di kawasan itu.

"Tu rumah saya."

"Okey." Faris berhenti di hadapan rumah Hanim.

"Terima kasih tau." Bergegas Hanim mengambil beg sandang yang diletakkan di kaki.

Dia segan dengan Faris. Rumahnya serba daif. Papan pun berlubang-lubang. Tingkap bilik tercabut sebelah. Hanya ditutupi dengan kain buruk saja. Laman rumah pula penuh rumput terbiar. Masing-masing malas nak menghias rumah yang tak ada roh itu.

"Sama-sama, take care."

Berdebar dada Hanim bila melihat senyuman Faris. Manis sungguh siap ada lesung pipit.

Kacak...

Haish!

Cepat-cepat Hanim tutup pintu kereta dan berpaling menuju ke tangga rumah. Tak mahu terus terbuai dengan layanan Faris yang terlalu baik untuk dia.

 

 

❇️❇️❇️

 

Faris ni sejenis jejaka green flag jadi admin tak hairan ramai reader yang cair 😝